Akibat Kelemumur

Alangkah malunya jika kolar dan bahu baju memutih akibat kelemumur yang bertaburan. Sisa-sia kelemumur ini biasanya akan kelihatan begitu jelas kalau baju yang dipakai itu berwarna gelap.



Kelemumur merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau pun wanita. Biarpun ia bukan penyakit berjangkit, tetapi ia mampu menjejaskan personaliti seseorang. Sisa-sia kelemumur yang jatuh atas baju pula pasti menjejaskan penampilan seseorang.

kelemumur akan menyebabkan seseorang itu mula rasa tidak selesa kerana kulit kepala gatal dan mereka akan asyik menggaru. Kegatalan kulit kepala yang amat sangat juga akan membuatkan masa tidur akan terganggu.

Orang yang menghadapi masalah kelemumur ini juga akan mula berhadapan dengan masalah rambut rosak atau gugur. Ia juga akan menyebabkan seseorang itu mula merasa tidak selesa untuk bersosial kerana selalu menggaru kepala. Lebih memalukan apabila banyak kelemumur jatuh di atas bahagian leher baju.

Sebenarnya terdapat pelbagai jenis masalah kelemumur. Ia bukan sahaja pada bahagian kulit kepala sahaja. Ada yang jenis berkuping dengan kelemumur ini merebak hingga ke bahagian telinga.



Selain itu, ada juga masalah kelemumur yang terjadi di bahagian hidung, kening dan dahi yang kelihatan seolah-olah seperti jerawat kecil. Masalah kelemumur juga dihadapi mereka yang mengambil steroid bagi mengubati penyakit. Bayi yang baru lahir juga boleh menghadapi masalah kelemumur yang dipanggil cradle cap. Bagaimanapun, masalah kelemumur itu masih boleh diubati dengan penggunaan syampu yang bersesuaian.

Biasanya syampu itu perlu mengandungi bahan antikulat yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah kelemumur. Sebaiknya penggunaan syampu kata beliau, perlu diteruskan sepanjang masa bagi mengelakkan ia berulang.

Saintis Procter & Gamble (P&G), Dr. Jasmine Karsono menjelaskan, adalah perkara normal apabila seseorang itu mengalami keguguran rambut antara 50 hingga 100 helai setiap hari. Ini kerana rambut hanya bertahan selama dua hingga tiga tahun di kepala seseorang dan ia akan luruh dan tumbuh kembali.

Rambut gugur juga disebabkan oleh faktor lain, antaranya kerap menggunakan pengering rambut atau menyikat rambut dengan terlalu kerap. Biasanya kita akan mudah melihat rambut gugur dengan banyak ketika membasuh rambut semasa mandi atau bertaburan di bantal selepas bangun tidur.

Masalah kelemumur juga bukan sahaja akan menyebabkan berlakunya keguguran rambut tetapi juga akan merosakkan rambut. Sekalipun kelemumur bukan penyakit mengancam nyawa tetapi masalah ini akan menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa kerana terlalu kerap menggaru juga akan membuatkan kulit kepala rosak.