Dendam Harimau Malaya Di Bukit Jalil

Walau tewas di tempat lawan, Harimau Malaya masih mampu melakar kemenangan ke atas Singapura pada perlawanan kedua pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.



Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, skuad negara mampu mengatasi Singapura tetapi, mereka juga perlu segera memperbaiki benteng pertahanan agar tidak mengulangi kesilapan sama ketika beraksi di gelanggang sendiri nanti.

"Saya perhatikan kita sebenarnya bermain dengan baik pada separuh masa kedua, cuma kita buat kesilapan apabila melepaskan gol kelima yang tak sepatutnya diberi kepada Singapura," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas mengenai kemasukan Amirul Hadi Zainal pada babak kedua permainan, Dollah melahirkan rasa hairan mengapa jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tidak menyenaraikan pemain sayap kanan itu sejak awal perlawanan lagi.

"Saya sebenarnya hairan juga kenapa Amirul hanya dimasukkan pada separuh kedua, tetapi apa pun jurulatih lebih arif untuk tentukan pemain-pemainnya kerana dia lebih tahu," ujar bekas penyerang kebangsaan itu.

Sementara itu, jurulatih Selangor, K. Devan turut sependapat dengan Dollah yang mana benteng pertahanan skuad negara perlu diperkemaskan menjelang perlawanan kedua di Bukit Jalil.

Menurutnya, berdasarkan perlawanan di Singapura, para pemain tidak seharusnya memberikan tendangan percuma di kawasan bahaya yang terbukti telah mengancam gawang Malaysia apabila bolos dua gol menerusi cara yang sama.