Harimau Malaya Kecewa

Malaysia terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk beraksi semula di peringkat kelayakan Piala Dunia apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura pada perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, semalam



Malaysia terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk beraksi semula di peringkat kelayakan Piala Dunia apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura pada perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, semalam

Stadium Nasional Bukit Jalil dan 90,000 penyokong Harimau Malaya menjadi saksi detik kejatuhan Harimau Malaya apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 untuk membawa kepada kekalahan agregat 6-4.

Jaringan Safee Sali pada minit ke-57 tidak mampu untuk meningkatkan semangat rakan-rakannya yang lain apabila Singapura berjaya menjaringkan gol penyamaan 13 minit kemudian melalui Shi Jiayi.

Aksi sederhana pada separuh masa pertama boleh menjadi punca utama skuad negara gagal untuk menyaingi Singapura, di tambah dengan ketiadaan pemain perancang dan ketua pasukan, Safiq Rahim.

Safiq digantung perlawanan apabila menerima kad merah pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar yang menyaksikan Malaysia tewas 3-5.

Anak buah Datuk K. Rajagobal ternyata kurang selesa dengan kelebihan yang ada pada pemain Singapura iaitu kekuatan fizikal dan hantaran jauh.

Rajagobal mengakui, pasukannya tidak bermain agresif pada babak pertama, malah mengakui kealpaan benteng sekali lagi menghukum mereka ketika membenarkan Singapura merobek gawang pada separuh masa kedua.

"Kami tidak kalah, kami seri malam ini tetapi kami gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Kami tidak bermula agresif walaupun ada masanya kita membuat serangan, cuma di separuh masa kedua pemain mula menunjukkan permainan lebih baik tetapi ia tidak mencukupi.

"Saya rasa, apabila Aidil (Zafuan Abd. Radzak) terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan, ia menganggu perancangan pasukan. Dia keluar terlalu awal dan memaksa kami memasukkan Muslim,'' kata Rajagobal.

Hasrat untuk melihat pemain pertahanan berpengalaman, Aidil beraksi selama 90 minit tidak tercapai apabila dia dikeluarkan pada minit ke-27 dan digantikan dengan Muslim Ahmad apabila mengalami kecederaan.

Harapan menggunung penyokong Harimau Malaya untuk melihat Malaysia bangkit pada separuh masa kedua gagal dijelmakan manakala Singapura ampuh bertahan hasil permainan mantap pemain pertahanan Daniel Bennett.

Pemain tengah, Ismail Faruqi seperti kekeringan idea untuk merencanakan serangan bahaya tatkala Singapura mengharapkan kehebatan pemain kelahiran China, Jiayi dan Qiu Li.

Gandingan Safee dan Abd. Hadi Yahya juga tidak begitu menjadi apabila tidak mempunyai keserasian yang mantap tatkala S. Kunanlan gagal mempamerkan permainan lincah seperti dalam perlawanan sebelum ini.

Ibarat jatuh sudah ditimpa tangga aksi penutup perlawanan Malaysia Singapura dicemari dengan layangan kad merah kepada pemain gantian negara, Ahmad Fakri Saarani pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, pujian layak diberikan kepada penjaga gol skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang beberapa kali menyelamatkan percubaan merbahaya pihak lawan.

Apa-pun kita perlu menerima hakikat bahawa masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika berhasrat untuk beraksi pada peringkat yang lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia 2018.

Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat berkata, Singapura berhak melayakkan diri ke pusingan seterusnya kerana menunjukkan permainan yang lebih baik. "Kita tidak kalah malam ini, cuma kita seri. Singapura lebih layak dan berhak ke pusingan seterusnya,'' kata Khairul Fahmi.