Jangan Menyamar Jadi Polis

Kerana menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat ASP, seorang lelaki berumur 34 tahun telah ditangkap polis.



Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata, lelaki yang berasal dari Miri Sarawak itu ditahan empat hari lepas di Jalan Long Yunus, hasil maklumat orang awam.

"Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 petang, 21 Julai lepas bersama kenderaan jenis Toyota Alphard yang disewanya.

"Ketika ditahan dia hanya berpakaian biasa dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui pelbagai jenis barangan penyamaran sebagai anggota polis antaranya pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM), lencana dan pangkat PDRM, gari, tali pinggang polis dan sarung pistol,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selain barangan penyamaran polis, turut dirampas dalam kenderaan itu ialah wang tunai berjumlah RM2,619, yang diletakkan dalam sekeping sampul surat.

Azham berkata siasatan awal polis mendapati lelaki itu memiliki beberapa rekod jenayah lampau dalam kes yang sama dan baru beberapa bulan dibebaskan dari penjara.