Kumpulan Senario Sertai Rela

Selama ini, peranan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dalam usaha membantu pasukan beruniform seperti polis dalam masyarakat tidak pernah diangkat secara serius menerusi filem.



Bagaimanapun, sumbangan Rela itu buat julung-julung kalinya dimartabatkan oleh kumpulan lawak Senario menerusi filem terbaru lakonan mereka yang berjudul Senario Ops Pocot.

Melalui filem arahan Ismail Hasim itu, kumpulan trio lawak tersebut menonjolkan sepenuhnya fungsi Rela bagi membantu pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang.

Menurut Ismail atau lebih dikenali sebagai Bob, filem terbitan MIG Production itu juga secara tidak langsung mampu menarik orang ramai menyertai Rela yang telah ditubuhkan sejak tahun 1972.

"Sewaktu berbincang untuk menerbitkan sebuah filem baru, pihak MIG mahu memaparkan sebuah cerita tentang agensi kerajaan yang beruniform. Kami pilih Rela kerana ia jarang diketengahkan."

"Ia bukan sahaja boleh menarik minat orang ramai menyertai Rela tetapi juga mengetahui secara lebih mendalam bidang kuasa pasukan itu," katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Pada sidang akhbar selepas pratonton Senario Ops Pocot di Petaling Jaya, Selangor itu, Bob berkata, filem itu mampu mempopularkan lagi pasukan beruniform tersebut.

Namun katanya, filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Julai lalu itu digambarkan secara santai dalam ruang lingkup kuasa Rela untuk tujuan hiburan.

"Filem ini diolah secara santai sesuai dengan genre komedi. Ia bagi memastikan agar masyarakat tidak berasa takut dengan Rela. Kita mahu orang ramai tertarik dengan Rela.

"Kalau boleh biarlah filem ini mampu menarik keanggotaan lebih ramai anggota Rela sehingga sejuta ahli memandangkan pasukan itu khabarnya masih kekurangan ahli seluruh negara.

"Selain itu, kami telah menerima nasihat daripada LPF (Lembaga Penapis Filem) dan pihak Rela sendiri agar jalan cerita yang hendak dipaparkan sesuai dengan imej pasukan itu," ujarnya.

Senario Ops Pocot mengisahkan tentang Azlee, Wahid dan Mazlan yang menyertai Rela yang pada asalnya penakut tetapi bertukar berani selepas menyertai pasukan tersebut.

Anggota-anggota Senario seperti Lan Pet-Pet mengakui filem terbaru lakonan mereka itu bukan setakat memberi gambaran positif tentang Rela tetapi turut menambahkan lagi pengalamannya.

Jelas Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, dia dan anggota senario yang lain menyertai Rela bagi mendapatkan penghayatan sewaktu berlakon dalam filem itu.

"Kami menyertai Rela dan melakukan latihan yang diperlukan untuk menjadi ahli pasukan itu. Kami berada dalam kem latihan selama 30 hari untuk berlatih menembak dan sebagainya.

"Kami bukan sahaja boleh berkawad tetapi juga menerima sijil selepas latihan itu tamat. Ini bukan sahaja filem pertama tentang Rela tetapi kami juga artis pertama yang menyertainya," ujarnya.

Azlee atau Azlee Jaafar pula berkata, dia tidak menafikan cabaran latihan di kem Rela yang seperti tentera banyak mengajarnya lebih tabah selain menghayati watak sebagai anggota Rala.

Malah, pelakon berasal dari Johor itu juga tidak dapat melupakan pengalamannya sewaktu berlakon dalam Senario Ops Pocot apabila kakinya tercedera sewaktu memanjat sebuah tembok.

"Akibat kecederaan itu saya diberi cuti rehat selama sehari. Apa yang dilalui oleh anggota-anggota Rela maka itu jugalah yang terpaksa kami lakukan dalam filem ini.

"Bagi yang berbadan gempal macam saya memang ada masalah sikit. Selain berkawad, kami juga diberi pendedahan menggunakan senjata api seperti pistol dan senapang," katanya.

Filem yang menjalani penggambaran di Melaka pada Jun tahun lalu itu merupakan filem terakhir Senario di bawah terbitan MIG Production sebelum mereka berhijrah ke produksi lain.

Sementara itu, Wahid atau Wahid Mohd. yang berasal dari Bercham, Ipoh, Perak berkata, keputusan berlakon dalam filem tentang peranan Rela itu berdasarkan pengamatannya sendiri.

"Mula-mula kami berbincang mahu berlakon dalam sebuah filem yang menceritakan tugas askar Wataniah tetapi tidak banyak operasi yang mereka jalankan dalam situasi sekarang ini.

"Ia berbeza dengan Rela yang banyak terbabit dalam pelbagai operasi bersama pihak penguatkuasa lain menyebabkan kami tertarik menceritakan pengorbanan pasukan itu.

"Antaranya, elaun ahli Rela yang tidak menentu menyebabkan tidak ramai yang menyertainya. Tayangan filem ini juga secara tidak langsung sempena Hari Kebangsaan yang akan disambut tidak lama lama," jelasnya.

Selain anggota-anggota Senario, filem itu turut dilakonkan oleh Diana Amir yang melakonkan watak Mala, Mas Muharni (Azie), Kamal Adli (Hairi) Sasqia (Ann) dan Mr. Os (Pak Bad)