Penduduk Dunia Meningkat 7 Bilion 2011

Jumlah penduduk dunia akan mencapai angka tujuh bilion orang pada tahun ini, walaupun terdapat tanda-tanda berlaku peningkatan secara perlahan.



Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Biro Rujukan Jumlah Penduduk, jumlah kelahiran penduduk mengalami penurunan daripada 2.1 peratus setahun pada lewat 1960-an kepada 1.2 peratus ketika ini.

Namun, laporan itu turut mendapati beberapa penurunan kadar kelahiran itu diimbangi oleh kemajuan ubat dan kesihatan awam yang memanjangkan hayat manusia.

Jika kadar pertumbuhan 2.1 peratus berterusan sejak 1960-an, jumlah penduduk dunia dianggarkan mencecah 8.7 bilion orang tahun ini, menurut tinjauan itu.

Jumlah peningkatan penduduk pada kadar 1 bilion orang untuk setiap 12 tahun juga dilihat akan terus kekal.

“Jumlah enam dan tujuh bilion telah dicapai pada tempoh itu dan kemungkinan besar angka lapan bilion penduduk juga akan dicapai dalam tempoh 12 tahun,” kata tinjauan itu.

Jumlah penduduk dunia pada awal abad ke-20 ialah 1.6 bilion.

Sementara itu, jumlah kelahiran tertinggi masih kekal di negara-negara membangun dan miskin, tetapi jumlah kematian bayi turut mengalami kejatuhan ekoran kemajuan perubatan.

Perbezaaan antara kejatuhan kadar kematian dan kejatuhan kadar kelahiran pula berada pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di Kenya contohnya, kadar kelahiran berada pada tahap empat peratus pada awal 1950-an dan tidak mengalami penurunan sehingga lewat 1970-an, ketika jangka hayat penduduk di negara itu meningkat kepada 56 tahun dari 42 tahun pada awal 1950-an.

Tinjauan ini melibatkan kajian di empat negara iaitu Uganda, Guatemala, India dan Jerman yang mempunyai perubahan tahap penduduk yang berbeza.