Rais Saman Blogger RM300,000

Angkara fitnah yang dibuat secara meluas terhadap Datuk Seri Dr. Rais Yatim, seorang penulis blog hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.



Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Amizudin Ahmat, 42, yang juga merupakan anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada 5 Julai lalu, mahkamah memutuskan Amizudin yang diwakili peguam William Leong bertanggungjawab memfitnah Rais, 69, menerusi sebuah artikel yang dipaparkan dalam blognya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Dalam penghakiman bertulis, Hakim Zabariah menjelaskan, jumlah ganti rugi itu adalah munasabah dan ia ditetapkan selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dibuat oleh Amizudin selaku defendan selain nilai wang semasa.