Resepi Acar Daging Istimewa

Resepi Acar Daging Istimewa yang lazat dan menyelerakan..


Bahan-bahan:

1 kg daging batang pinang - dipotong nipis, dibersih dan dituskan
500 gm rebung jeruk - jenis panjang
1 sudu besar jintan manis - disangai dan dikisar halus
6 sudu besar cili kisar
1 sudu besar rempah kurma
1 sudu kecil rempah campur
4 sudu besar gula merah
5 biji buah keras - ditumbuk halus
1/4 cawan cuka
1 cawan air asam jawa
3 labu bawang besar - dibelah 6
10 ulas bawang merah - dibelah 2
10 ulas bawang putih - dibelah 2
4 cm halia - dimayang
4 tangkai cili hijau - dibelah 2 dan dibuang biji
4 tangkai cili merah - dibelah 2 dan dibuang biji
5cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 sudu kecil kapur sirih
1/2 cawan minyak masak
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan kisar:
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia

Cara Menyediakan:

1. Bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia dan cili direndam dalam air bercampur kapur selama setengah jam, kemudian dibilas dengan bersih dan ditus.

2. Rebung dipotong 4 cm kemudian dibelah-belah tanpa putus sebelum dibersihkan dan dituskan.

3. Panaskan minyak dan tumiskan bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis dan bahan-bahan kisar. Kacau hingga naik aromanya.

4. Masukkan rempah kurma, buah keras, cili kisar, rempah campur dan jintan manis. Kacau dan biarkan hingga garing dan pecah minyak.

5. Masukkan daging dan sedikit air. Kacau dan biarkan hingga daging empuk.

6. Masukkan air asam jawa, cuka, garam, gula merah dan gula pasir secukupnya. Kacau hingga rata.

7. Masukkan rebung, bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, cili hijau dan cili merah. Kacau sebentar dan angkat.