Ubur-Ubur Serang Logi Nuklear

Sebuah loji kuasa nuklear yang terletak di pantai Israel terpaksa ditutup apabila sistem pendingin air lautnya tersumbat akibat dipenuhi dengan ubur-ubur.



Insiden yang membabitkan ubur-ubur turut berlaku di stesen janakuasa Torness di laut Scotland baru-baru ini hingga melumpuhkan dua reaktor loji berkenaan.

Pada minggu lalu, sebuah reaktor di Shimane, Jepun pula mengalami nasib yang sama apabila dilumpuhkan akibat serangan ubur-ubur.

Semua insiden itu berlaku ketika spekulasi bahawa arus suam dan pengaksidan lautan, kedua-dua disebabkan perubahan cuaca, menyebabkan populasi ubur-ubur meningkat dengan mendadak.

Persoalannya sekarang, adakah insiden seperti itu akan berlarutan?

"Kejadian melibatkan beberapa loji kuasa nuklear baru-baru ini tidak cukup kuat untuk membuktikan wujudnya satu corak global.



"Kesemua insiden terbabit mungkin berlaku secara kebetulan," kata Ahli Biologi Ubur-ubur dan Saintis Marin Makmal Laut Pulau Dauphin, Perairan Teluk Alabama, Amerika Syarikat (AS), Monty Graham.

Dia berkata, terdapat puluhan kes ubur-ubur menyebabkan penutupan sebahagian atau sepenuhnya loji tenaga di kawasan pantai sejak beberapa dekad lalu termasuk penutupan loji memproses air laut.

Seorang saintis Institut Penyelidikan Akuarium Teluk Monterrey, Steve Haddock, berkata, sebuah loji tenaga di Australia ditutup akibat serangan ubur-ubur lama dahulu iaitu pada tahun 1937.



Semua kejadian itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana semua loji tenaga berkenaan menyedut air dari lautan dan ia telah dilengkapi peralatan penapisan berfungsi untuk menyingkirkan ubur-ubur dan serpihan lain.