ATRIX Telifon Bercirikan Komputer

MOTOROLA telah mempemperkenalkan telefon pintar generasi baru keluarannya, ATRIX, sejajar dengan hasratnya ingin bersaing dalam pasaran telefon bimbit terkini.



ATRIX yang dijana dengan kuasa sistem pemproses Android berfungsi seolah-olah sebuah komputer kecil yang boleh dimuatkan dalam poket anda.

Dengan aplikasinya yang setara dengan sebuah komputer, pastinya ATRIX mampu membawa penggunanya ke arah penggunaan telefon bimbit dengan cara yang lebih versatil, mudah serta pantas.

Malah, ATRIX juga berjaya menggondol anugerah Telefon Pintar Terbaik di Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2011 di Las Vegas, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menggunakan platform Android 2.2, ia mampu mengoperasikan aplikasi penuh Mozilla Firefox 3.6 dan menyokong aplikasi Adobe Flash Player untuk memaparkan video, grafik dan animasi yang terdapat didalam web tersebut.

Sistem operasi Android 2.2 yang digunakan juga membolehkan anda melayari lebih 200,000 aplikasi di Android Market melalui ATRIX.

Menurut Ketua Pengarah Pemasaran Asia Tenggara, Robert Van Tillburg, ATRIX merupakan satu revolusi dalam penggunaan komputer dan telefon pintar.

“Pengguna telefon pintar di Malaysia dilihat semakin meningkat dan menjadikan gajet tersebut sebagai hub utama dalam setiap kegiatan digital mereka.

“ATRIX memudahkan serta meningkatkan kebolehan penggunanya untuk terus berada di talian sama biarpun mereka berada di tempat kerja, rumah mahu pun dalam perjalanan ke mana-mana,” ujarnya.

Sebagai sebuah hub aktiviti digital yang utama kepada penggunanya, ATRIX dibantu oleh aplikasi Motorola Webtob.

Aplikasi Webtob membolehkan pemilik ATRIX melayari Windows dan membuka mana-mana laman web kegemaran menerusi Firefox, mengedit dokumen, menghantar khidmat pesanan ringkas serta membuat panggilan serentak pada masa yang sama.

Selain itu, ATRIX turut menawarkan aksesori tambahan iaitu Motorola HD Multimedia Dock dan Motorola Lapdock bersama skrin yang lebih luas, paparan papan kekunci dan pad pengesan.

Motorola HD Multimedia Dock dilengkapi tiga port penyambungan USB dan port HDMI untuk menyambungkan papan kekunci, tetikus, pembesar suara dan monitor HDMI untuk kegunaan di pejabat mahupun di rumah.

Ia juga boleh disambungkan kepada televisyen HDMI dan set teater rumah untuk kepuasan maksimum semasa mendengar muzik serta menonton video.

Manakala Motorola Lapdock dilengkapi skrin seluas 11.6 inci, papan kekunci, pad pengesan, pembesar suara stereo dan 36Wh sel bateri yang mampu bertahan selama lapan jam.



Ia juga dilengkapi pemproses dual, 1GHz yang menjadikan layaran di web, video HD dan bermain permainan video dengan lebih pantas.

RAM bagi telefon ini juga dipertingkatkan sehingga 1 GB yang mana merupakan dua kali ganda saiz RAM yang diperuntukan dalam mana-mana telefon pintar yang sedia ada.

ATRIX turut dilengkapi skrin qHD beresolusi tinggi sehingga 24 bit warna dan ia merupakan pertama di dunia yang digunakan pada telefon pintar.

QHD menjadikan paparan lebih mudah dibaca sama ada berada di dalam mahupun di luar rumah.

Seterusnya, bateri yang lebih nipis tetapi mampu bertahan lama serta dua kamera di hadapan dan belakang untuk merakam dalam format HD.

Untuk keselamatan yang berganda, ATRIX turut dilengkapi kod pengenalan cap jari serta saiz penyimpanan yang besar iaitu sehingga 48 GB.

Dengan saiz simpanan yang besar tersebut, ATRIX mampu menyimpan beribu lagu, gambar serta video.

Motorola ATRIX kini boleh didapati di mana-mana kedai yang menjual produk Motorola pada kadar harga RM1999.