Harga Makanan Naik Di Bazar Ramadan

Sebanyak 17 aduan diterima oleh persatuan-persatuan pengguna mengenai tindakan peniaga menaikkan harga kuih-muih dan lauk-pauk di bazar Ramadan sejak awal bulan puasa.



Daripada jumlah itu, 10 aduan dibuat kepada Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), manakala Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menerima tujuh aduan kesemuanya melibatkan peniaga di bazar Ramadan sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Pengerusi CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, berdasarkan aduan itu, persatuan membuat tinjauan di tujuh bazar Ramadan dan mendapati harga makanan adalah tinggi. Menurutnya, harga kuih meningkat daripada 30 sen seketul kepada 60 sen seketul dan lauk-pauk seperti ayam, berharga RM6 seketul berbanding RM4 seketul pada hari biasa.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memantau dan mengambil tindakan terhadap peniaga terlibat yang menaikkan harga makanan dengan sesuka hati.. Peniaga-peniaga yang cuba mengeksploitasi pengguna perlu disenaraihitamkan daripada diberi lesen berniaga pada tahun depan.