Kematangan Payudara Remaja

Payudara seorang wanita merupakan simbol keperempuanannya. Sebab itulah seorang wanita itu sangat mengambil berat tentang saiz dan bentuk payudaranya.



Menjaga payudara dengan baik dan melakukan pemeriksaan ke atasnya merupakan salah satu cara untuk memastikan kesihatan seorang wanita.

Semasa peringkat awal remaja, payudara kamu yang sedang membesar mungkin membuatkan kamu tak selesa. Biasalah tu! Kamu cuma perlu memerhatikan perubahan itu. Untuk mengelakkan ketidakselesaan, lakukan sesuatu ke atasnya untuk membuatkan kamu rasa ok.

Membeli coli pertama kamu.

Tak apa kalau kamu rasa tak selesa apabila payudara kamu mula membesar. Ia mungkin akan sedikit sakit atau senstif apabila kamu banyak melompat atau berlari. Gadis akan mula memakai coli apabila payudara mereka mula menguntum. Masa inilah kamu boleh meminta bantuan ibu atau kakak kamu untuk memilih coli yang bagus dan sesuai.

Melekap pada badan kamu! Minta bantuan jurujual untuk mendapatkan ukuran yang tepat. Ukuran datang dalam bilangan nombor diikuti dengan huruf. Huruf menandakan saiz cup atau saiz payudara kamu sementara nombor menunjukkan berapa lebar belakang kamu. Cup yang bersaiz A mungkin sesuai sekiranya kamu mempunyai payudara yang kecil. Jangan takut untuk mencuba pelbagai coli dan pilih yang mana kamu rasa sesuai dan selesa.

Ahh selesanya. Pilih coli yang diperbuat daripada bahan yang lembut dan selesa dipakai. Sekiranya ia rasa agak gatal, tak perlulah kamu beli juga walaupun ia mengisi payudara kamu dengan baik. Apabila kamu mula berpeluh, bahan yang gatal itu akan merengsakan kulit kamu. Eeee rimas!

Elakkan terlalu banyak dawai. Kamu tak perlukan coli yang berdawai sekiranya kamu baru mula memakai coli. Kamu mungkin berasa tak selesa. Ingat, kamu mesti utamakan keselesaan. Pilih coli tanpa dawai jika kamu gemar bersukan atau aktif orangnya. Dawai akan memberikan sokongan. Dengan saiz cup yang lebih kecil, coli tanpa dawai tentu akan lebih menyelesakan.

Dapatkan tali coli yang bagus. Tali coli yang lebar memberikan sokongan yang lebih baik. Terpulanglah pada kamu. Tali yang lebih nipis dengan perincian cantik seperti riben atau renda mungkin kelihatan cantik. Sekiranya kamu suka bersukan, dapatkan coli bertali yang lebih besar yang padan dengan kamu. Pilihlah yang paling selesa buat kamu ya!

Buatkan payudara kamu kelihatan cantik!

Siapa yang mahu payudara besar? Payudara kamu dijadikan sesuai dengan tubuh kamu. Jadi jagalah ia sebaiknya dan pastikan ia tegang. Mantapkan payudara kamu dengan beberapa senaman ringkas:

Tekan tubi

Buat tekan tubi kamu dari lengan hingga ke lutut. Mula dengan bilangan 8 ke 12 setiap hari. Kamu boleh ulanginya sebanyak 2 hingga 3 kali. Rehat selama 15 saat di antara setiap kiraan.

Angkat berat

Ambil dumbel yang dah lama ditinggalkan tu. Sekiranya ini kali pertama kamu menggunakannya, mula dengan berat 2 atau 3 paun. Jangan terus menggunakan yang berat. Kamu boleh menambah berat badan kamu selepas melakukan senaman ini untuk satu masa.

Baring di lantai dengan memegang dumbel. Angkat tangan kamu secara menegak dari bahu dan angkat berat tersebut. Lihat pada siling. Balik semula ke posisi awal dan lakukannya dalam kiraan 12. Ulangi set ini 2 atau 3 kali sehari. Sekiranya kamu tak ada dumbel, isi botol plastik dengan 500ml air dan gunakannya. Kenalah kreatif sikit!

Pemeriksaan Payudara Sendiri (SBE)

Apabila kamu berumur 20 tahun, kamu mungkin mula menyedari terdapatnya perubahan atau ketulan pada payudara. Tak semua ketulan itu merupakan kanser payudara tetapi langkah terbaik adalah dengan mengenali payu dara kamu melalui Pemeriksaan Payu Dara Sendiri (Self Breast Examination atau SBE).

Lakukan SBE seminggu sekali atau selepas period. Kamu boleh melakukannya dengan baring atau semasa mandi. Relakskan diri kamu ketika melakukannya. Kamu juga boleh melakukannya sekerap yang mungkin terutamanya sekiranya kamu mempunyai ahli keluarga dengan sejarah kanser payudara.

Guna tiga jari tengah dan tekan perlahan payudara secara membulat bermula pada puting kamu dan menghala ke luar. Tambah tekanan kamu untuk merasa sebarang ketulan atau sakit. Kamu juga boleh melakukannya secara ke atas dan ke bawah. Pastikan kamu telah memeriksa seluruh bahagian payu ara.

Dengan tiga jari tengah kamu juga, rasa bahagian berdekatan tulang selangka dan tulang dada. Ulangi pemeriksaan ini pada payudara sebelah. Cuba rasa ketiak kamu dan perhatikan sebarang ketulan atau benjolan pada bahagian tersebut.
Dengan ibu jari dan jari tengah, picit puting kamu dan perhatikan sebarang perubahan pada warna kulit atau lelehan.

Dengan mempelajari bagaimana untuk memeriksa payudara, kamu mula lebih bertanggungjawab terhadap tubuh kamu. Jika terdapat sebarang perubahan pada payudara kamu, jangan lekas panik. Pergilah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan.

Soal Jawab Payudara

Kenapa payudara terasa sakit atau lebih sensitif apabila period semakin dekat?
Walaupun ia menyebabkan kamu tak selesa, kamu tak perlu risau mengenainya. Kamu akan rasa yang payudara kamu agak keras dan penuh sebelum period. Ketika inilah, sentuhan yang lembut pun akan membuatkan kamu mengaduh kesakitan.

Kesakitan ini disebabkan tisu payu dara bengkak kerana tahap kandungan estrogen yang tinggi dalam tubuh. Tuamkan dengan tuala suam dan biarkan ia di situ sehinggalah sakit berkurangan. Kurangkan meminum air kerana pada masa ini tubuh kamu menyimpan air apabila tahap estrogen tinggi.

Lebihan air akan membuatkan payudara kamu terasa penuh. Kalau terlalu sakit, kamu mungkin boleh mengambil pil tahan sakit. Gerakkan tangan kamu dan lakukan senaman tekan tubi untuk mengekalkan aliran darah yang lancar di kawasan tersebut.

Bolehkah saya besarkan payudara?

Berdiri di depan cermin dan kamu mungkin akan nampak yang kedua-dua payudara kamu tak sama. Satu payudara mungkin akan lebih besar dari yang satu lagi. Puting kamu juga mungkin berbeza. Jangan risau, sebab ini adalah normal. Ingat perbezaan ini dan periksa payudara kamu dari masa ke semasa. Perhatikan sebarang perubahan.

Memang tak ada payudara yang bersaiz atau berbentuk sempurna. Selepas baligh, saiz payudara kamu mungkin berubah bergantung kepada berat badan yang berkurangan atau bertambah. Semasa kehamilan, payudara kamu akan mula menghasilkan susu dan akan menjadi besar.

Senaman akan memperbaiki rupa payudara kamu dengan meningkatkan saiz otot yang terletak di bawahnya. Sesetengah wanita mungkin melakukan pembedahan untuk membuatkan payudara mereka lebih besar. Semakin kamu dewasa, kamu mungkin berpendapat yang payudara besar membuatkan kamu lebih cantik atau rasa puas. Ini mungkin betul tetapi berperawakan menarik sebenarnya jauh lebih hebat apabila kamu dan orang sekeliling kamu menerima tubuh kamu seadanya.

Adakah pemakaian coli akan menyebabkan kanser payudara?

Ia tidaklah terbukti benar. Kanser payudara disebabkan gabungan gen tertentu dan juga faktor lain seperti merokok dan berat badan berlebihan. Wanita yang mempunyai ibu, kakak atau ibu saudara yang mempunyai sejarah kanser payu dara, perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan awal. Jadi, tak apa memakai coli kerana ia menyokong payu dara kamu dan memberikan postur yang baik.