Lakaran Ayat Suci Al-Quran Pada Tubuh Anak Kecil

SEORANG bayi sembilan bulan di pedalaman Kizlyar, Dagestan di selatan Russia, menjadi tumpuan ramai berikutan kemunculan lakaran petikan ayat suci al-Quran pada beberapa bahagian tubuhnya.



Kemunculan petikan ayat suci al-Quran berwarna merah jambu pada badan Ali Yakubov, bersilih ganti setiap dua kali seminggu iaitu Isnin dan malam Jumaat, yang berlaku seawal kelahirannya tetapi menjadi semakin kerap sejak beberapa minggu lalu.
Ia timbul pada beberapa bahagian badan Ali seperti di belakang, kaki, perut dan tangannya sebelum pudar, lenyap dan muncul di bahagian lain.

Antara maksud lakaran itu termasuk ‘Allah Maha Besar’ dan ‘Allah yang menciptakan semua ini.’

Kejadian pelik yang turut disiarkan di internet itu bukan hanya mencetuskan tanda tanya ramai sehinggakan ada yang sanggup bertandang ke rumahnya setiap hari, tetapi juga misteri kepada pakar perubatan Russia yang sehingga kini belum dapat merungkai fenomena berkenaan.


Ali bersama ibunya Madina dan bapa, Shamil.


Keluarga dan orang ramai menganggapnya satu keajaiban membuktikan kebesaran Allah SWT, apalagi di wilayah yang sudah lama bergelut dengan konflik berdarah antara pihak berkuasa Russia dan pemisah Islamnya, termasuk kejadian serangan bunuh diri yang mengorbankan ramai.

Pakar perubatan juga menafikan lakaran itu mampu menjelma sendiri atau ditulis seseorang, ketika pihak lain yang meraguinya menganggapnya satu masalah alahan kulit. Tidak kurang pula yang menuduh ia angkara ibu bapa Ali, Shamil dan Madina yang menggunakan cecair campuran lada dan garam bagi menjadikan Ali ‘bayi ajaib.’

Apa yang pasti, setakat ini, sekurang-kurangnya 2,000 orang sehari, berpusu-pusu mengunjungi rumah Ali setiap sejak berita kejadian pelik itu tersebar, termasuklah pakar perubatan dan wartawan pertubuhan media asing yang menyaksikan sendiri lakaran ayat suci pada kulit bayi comel berkenaan.

Berikutan itu, pihak berkuasa terpaksa mengawal rumah Ali bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


Ali menjadi tumpuan ramai


Bagi ibunya, Madina, beliau mempunyai kisah tersendiri di sebalik fenomena yang dialami anak keduanya itu.

“Ali lahir tidak cukup bulan dan disahkan pula menghidap penyakit jantung serta kulitnya yang terlalu nipis sehingga menampakkan bahagian ususnya. Doktor ketika itu meramalkan dia hanya mampu hidup dua atau tiga hari selepas dilahirkan.

“Di celah kesedihan dan kebimbangan itu, kami perasan lakaran Allah pada dagunya tetapi menganggapnya satu tanda lahir. Tidak disangka pula, berkat doa kami kepada Allah SWT dan dengan kemunculan ayat suci itu, kami dikejutkan berita Ali pulih daripada semua penyakit itu.

“Malah, doktor yang merawatnya juga kehairanan bagaimana penyakit yang boleh meragut nyawanya itu, mampu lenyap begitu saja. Buktinya, Ali mampu hidup sehingga ke hari ini,” kata Madina yang dipetik media tempatan dan antarabangsa.

Menurut Madina, Ali lazimnya mengalami demam panas sebelum dan ketika kemunculan petikan ayat suci berkenaan. Anak kecil itu juga sering menangis selain lebam pada bahagian tertentu badan yang disusuli dengan kemunculan petikan ayat suci.

Anehnya, biarpun diberi ubat, demam dialami Ali itu tidak kebah dan lazimnya hilang sendiri selepas kemunculan ayat suci berkenaan.

“Kami menganggapnya satu keajaiban serta peringatan daripada Allah,” kata Madina.

Pemimpin Kizlyar, Sagid Murtazaliyev, pula menyifatkan kejadian itu satu pesanan Allah SWT kepada penduduk supaya kembali mengamalkan tuntutan agama dan mengingati konflik berdarah di kawasan itu.