Malas Bersenam Apa Alasannya

Terdapat salah faham dikalangan majoriti masyarakat Malaysia mengenai idea ‘bersenam’ dan erti ‘gaya hidup sihat’. Berikut adalah beberapa alasan yang selalu kita dengar dan respon mengenai cara untuk mengelaknya.



Alasan #1 – “Saya sangat sibuk, mana ada masa nak bersenam!”

Anda tidak akan pernah sibuk untuk bersenam! Bersenam ialah suatu kewajipan selagi kita masih hidup (dan jika mahu hidup panjang!). Jika anda sangat sibuk dan langsung tidak ada masa untuk luangkan masa ‘berharga’ anda walaupun 20 minit sehari, jadilah lebih aktif! Gunakan tangga berbanding lif. Cuba kurangkan penggunaan kenderaan. Jika sangat perlu, letak kereta anda sejauh mungkin supaya anda masih perlu berjalan ke destinasi yang anda ingin tuju.

Okay anda mungkin berpendapat bahawa perkara-perkara ini adalah ‘remeh’ dan tidak mungkin membantu anda dalam mencapai objektif anda. Tetapi, jika anda mengambil langkah-langkah ini setiap hari, ianya akan memberi kesan lebih dalam jangka panjang! Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit juga kan!
Alasan #2 – “Buat apa bersenam? Saya telah ditakdirkan sebagai seorang gemuk!”

Saya berpendapat bahawa ini merupakan alasan yang tidak boleh diterima sama sekali! Ia seperti mengaku bahawa ada yang tidak kena tentang diri anda tetapi anda tidak mahu mengambil langkah proaktif untuk mengubahnya kerana menganggap bahawa ianya suatu yang telah ‘sebati’ dalam diri anda. Saya percaya setiap personaliti yang anda baca di ruangan ‘Success Stories’ di Kevin Zahri mempunyai pendapat yang sama berkenaan ini.

Kadangkala, kegemukan bukanlah kesalahan individu itu sendiri, ianya sesuatu yang dikongsi bersama. Ianya disebabkan oleh kebiasaan yang dipupuk dari kecil. Ingat tak pesan, kalau makan, makan sampai kenyang kan? Bersenam juga dianggap sebagai perkara yang tidak wajib oleh kebanyakan masyarakat kita. Sama juga bagi mereka yang kurus disebabkan kadar metabolism tinggi, senaman masih juga relevan dan penting!

Percayalah cakap saya, jika anda mempunyai azam untuk berubah anda pasti boleh mencapainya. Yang penting sekali, anda perlu ubah persepsi dan berhenti menyalahkan diri anda terhadap keadaan diri anda sekarang. Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!

Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!

Alasan #3 – “Saya diet, tak payah bersenam lah!”

Perkataan ‘diet’ ialah salah satu terma yang paling gemar digunakan dan juga ‘disalahguna’ oleh orang ramai yang cuba untuk mengurangkan berat badan! Diet tak bermakna anda ‘berpuasa’ dan mengikat perut anda dari makanan.

‘Diet’ sebenarnya ialah jumlah makanan yang diambil oleh seseorang. Setiap individu mempunyai jumlah nilai kalori harian (DCR) berlainan bergantung kepada fizikal badan dan juga gaya hidup seseorang itu (sama ada aktif atau tidak). Sudah tentu, tidak mustahil bagi seseorang itu untuk mengurangkan berat badan dengan hanya berdiet. Tetapi ianya sangat tidak disyorkan kerana seseorang itu perlu sangat berdisiplin dalam pengambilan makanan. Terdapat juga kemungkinan besar untuk berasa lapar dan akhirnya anda mungkin terlebih makan kerana tersangat lapar! Oleh itu, ‘diet seimbang’ sangat disyorkan oleh majoriti pakar nutrisi yang meliputi diet (‘reduced calorie diet’) dan senaman. Tahukah anda bersenam membantu anda mengurangkan nafsu makan?
Alasan #4 – “Saya tak mahu pergi gym, saya tak mahu badan ‘besar’ macam ahli bina badan!”

Mungkin ini salah satu sebab kenapa kurangnya pengunjung perempuan di gimnasium. Kaum wanita sangat risau jika tubuh badan mereka akan berotot seperti lelaki bina badan. Jangan risau, kebanyakan lelaki juga mempunyai kerisauan yang sama kerana tidak mahu kelihatan ‘besar’ macam ‘weightbuilder’.

Sebenarnya, bukan senang untuk seseorang kelihatan seperti ahli bina badan. Ianya adalah proses yang mengambil masa yang agak panjang dan diet mereka sangat berbeza berbanding mereka yang hanya pergi gym untuk menjadi sihat dan meningkatkan kesihatan diri. Jadi anda tak perlu risau!

Perempuan dan lelaki juga mempunyai fisiologi yang berbeza. Kepada kaum wanita, bentuk badan anda akan menjadi lebih menarik kerana latihan di gym membantu membakar lemak badan. Jangan jadikan alasan ini untuk tidak mahu pergi ke gym lagi okay?
Alasan #5 – “Bencilah bersenam! Tak suka!”

Saya suka berlari. Mungkin anda tidak suka berlari. Anda mungkin mempunyai aktiviti yang anda minat yang mungkin anda sendiri tidak tahu lagi. Yang penting di sini, jangan mudah berhenti dan berputus asa. Teruskan bersenam dengan pelbagai aktiviti yang anda boleh cari dan cuba. Kawan saya dah berhenti berlari dengan saya selepas beberapa minggu dan sekarang masuk kelas ‘pole dancing’. Tak kisahlah apa pun yang anda buat, cuma pastikan ianya sesuatu yang aktif dan membuat anda berpeluh!
Alasan #6 – “Buat penat saja exercise, tak ada beza apa-apa pun!”

Ramai orang putus asa dan berhenti bersenam sepenuhnya sebab tak nampak apa-apa pun beza selepas penat bersenam selama beberapa minggu. Banyak faktor yang menyebabkan kenapa ianya berlaku tetapi ianya boleh disimpulkan kepada satu sahaja, iaitu pengetahuan asas mengenai senaman.

Senaman akan menjadikan anda lebih sihat dan fit tetapi tidak akan membantu anda mengurangkan berat badan jika anda masih teruskan dengan diet anda yang biasa. Anda perlu tahu tentang konsep pemakanan sihat, dan juga tips mengenai senaman supaya anda boleh mencapai objektif anda secara efektif. Ingat, kualiti selalunya lebih penting dari kuantiti!
Alasan #7 – “Susahlah nak teruskan bersenam!”

Ada juga yang mahu bersenam tapi susah nak jadikan ianya satu amalan. Banyak sebab kenapa situasi ini boleh terjadi. Lazimnya ia mungkin disebabkan oleh terlalu memaksa diri untuk mencapai suatu objektif. Saya ingat lagi dahulu betapa azabnya untuk berlari hanya sejauh 1km tanpa henti. Ianya semuanya proses yang mengambil masa. Sekali lagi, ianya sangat bergantung kepada psikologi anda.

Betapa banyak anda mahu mencapai objektif tersebut. Saya selalu ingatkan diri saya untuk buat yang terbaik setiap kali bersenam kerana saya yakin setiap kali bersenam ialah satu kejayaan terhadap diri saya. Tak ramai orang yang sanggup bangun dari sofa dan keluar rumah hanya untuk pergi bersenam bukan?

Akhir sekali, kita perlu ingat bahawa seseorang tidak akan berubah kerana apa yang mereka sudah ketahui, tetapi apa yang mereka rasa tentang sesuatu. Seorang perokok tidak akan berhenti merokok kerana tahu merokok membahayakan kesihatan atau mungkin menyebabkan kanser, tetapi berhenti kerana merasakan sesuatu yang tidak kena tentang tabiat tersebut.