Menyingkap Misteri Histeria

Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit.



Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku ‘breakdown’ pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.

Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus. Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan ‘mereka’ hingga mereka datang ‘membalas’ pula.

Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara.

Dunia ini sememangnya tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan ‘mereka’ atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.



Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun ‘memindahkan’ makhluk tersebut ke kawasan yang lain.