Peminat F1 Berusia 14 Tahun Dapat Tangan bionik


Seorang peminat perlumbaan kereta Formula Satu (F1), Matthew James berusia 14 tahun memperoleh tangan kiri palsu selepas dia menghantar sepucuk surat kepada bos pasukan F1 Mercedes Petronas, Ross Brawn, lapor sebuah akhbar kelmarin.



James yang dilahirkan tanpa tangan kiri menghantar surat tersebut bagi meminta wang sebanyak £35,000 (RM169,832.29) untuk memperoleh tangan kiri palsu.

Sebagai balasan, dia akan meletakkan logo Mercedes seperti yang terdapat pada logo kereta F1 pada tangan kiri palsunya.

Pihak pengurusan pasukan Mercedes itu terharu dengan kebijaksanaan remaja berkenaan.

Justeru, pasukan pengurusan Mercedes F1 itu bersetuju untuk membantu remaja berkenaan.

Pasukan Mercedes itu bekerjasama dengan firma Touch Bionics di Livingston, Scotland untuk mencipta tangan palsu berteknologi tinggi.

Hasil kerjasama itu menyebabkan tangan palsu yang paling canggih dikenali sebagai i-LIMB Pulse berjaya dihasilkan.

Tangan palsu tersebut membolehkan James memegang sebatang pen dan melukis gambar serta menulis, mengikat tali kasut selain menangkap bola.

Ia diperbuat daripada plastik gred tinggi dengan mengandungi soket silikon.

Setiap jari digerakkan dengan menggunakan motor.

Selepas menerima surat pada Jun lalu, Mercedes mengundang James ke ibu pejabat pasukan berkenaan dan menemui legenda F1, Michael Schumacher.

Namun, pasukan itu menyatakan ia tidak mampu untuk membayar harga tangan tersebut tetapi bersetuju untuk membantu remaja berkenaan memperoleh wang dengan meminta para peminat dan penaja membiayai kos tangan palsunya.