Rapuhnya Pertahanan Malaysia

Jelas terlihat betapa rapuhnya bahagian pertahanan skuad negara yang mudah dirobek Singapura sehingga tersingkir pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 lalu.



Kini barulah Datuk K. Rajagobal kembali memanggil semula tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah.

Bek tengah Negeri Sembilan berusia 30 tahun ini mendapat tempat di hati ketua jurulatih negara itu untuk latihan pusat menjelang dua perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Oman, antara 8 hingga 10 Ogos dan di satu lagi tempat yang akan ditentukan, antara 11 hingga 15 Ogos.

Penyenaraian semula Norhafiz Zamani yang mengemudi bahagian pertahanan Pilihan Malaysia menentang Chelsea, turut ada kaitannya dengan ‘kehilangan’ tiga tulang belakang Harimau Malaya, Fadhli Shas, Muslim Ahmad dan Mahalli Jasuli yang ke Slovakia bagi siri persahabatan persediaan ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012, bulan depan.

Selain itu, skuad negara terpaksa melupakan seketika khidmat seorang lagi tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Radzak yang dikeluarkan kerana kecederaan lama kakinya yang berulang pada minit ke-23 perlawanan yang menyaksikan kita diikat Singapura 1-1 di Stadium Nasional.

Siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, menyebut seramai 25 pemain dinamakan ke kem latihan itu dengan pemain tengah Terengganu, Joseph Kallang Tie dan dua pemain Kedah, Khyril Muhymeen Zambri serta Azmi Muslim merupakan antara tonggak lain yang berpengalaman antarabangsa.

Juga disenaraikan semula ialah ‘Harimau Berantai’ Malaya, Safee Sali yang menjaringkan tiga gol ke atas Singapura lalu selain penjaga gol, Farizal Marlias yang mempamerkan persembahan cemerlang ketika berdepan Chelsea, dengan kesemuanya dikehendaki melapor diri ke Wisma FAM, Kelana Jaya mulai 4 petang esok.

Biarpun sudah terkeluar daripada perebutan tiket ke Brazil 2014, dua perlawanan antarabangsa ini masih mampu mempengaruhi ranking ke-146 dunia Malaysia yang hanya dikemaskinikan sehari sebelum disekat Singapura 6-4 secara agregat dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia.