Bahaya Jenayah Siber

urangnya kefahaman serta kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan telefon bimbit telah menyebabkan ramai rakyat di negara ini ditipu oleh sindiket jenayah siber.



Jenayah siber yang kerap dilakukan antaranya adalah melibatkan penggunaan perbankan melalui Internet, VoIP (Voice Over Internet Protocol) dan e-Perdagangan. Penggunaan komputer dan telefon bimbit yang semakin canggih juga telah memudahkan operasi sindiket untuk menipu orang ramai.

Ramai yang menjadi mangsa jenayah siber setelah mereka secara tidak sedar telah mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada ahli sindiket, yang menyebabkan wang simpanan mereka telah dipindahkan kepada pihak ketiga.

Kini kita boleh lihat jenayah yang berlaku kurang lagi melibatkan jenayah berbentuk kekerasan malahan mereka lebih cenderung untuk melakukan jenayah komersial di mana ia mudah bagi mereka untuk mengelakkan diri daripada dikesan pihak polis oleh kerana mereka ini melakukan jenayah ini secara maya atau on-line.

Selain itu ramai pengguna Internet turut ditipu semasa membeli secara talian terus yang ‘sangat berisiko’ dan tidak dijamin kerana individu yang berminat perlu membayar terlebih dahulu sebelum mendapat produk mereka dan kebanyakan mereka tidak menerima produk yang ditempah.

Justeru undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan agensi berkaitan juga perlu bekerjasama bagi menangani jenayah komersial terutamanya melibatkan jenayah siber di negara ini.

Menurut statistik polis, jumlah kes dibuka pada 2010 ialah 1,050 sementara pada 2011 sehingga Julai tahun ini sahaja sebanyak 500 kes dengan jumlah tangkapan pada 2010 ialah 300 sementara tahun ini sehingga Julai sebanyak 80 kes.

Jumlah kes yang berjaya diselesaikan pada 2010 ialah 800 sementara pada tahun 2011 hingga Julai ialah 200.