Bakar Motosikal Kerana Dendam

Entah apa motifnya, sebanyak enam motosikal dan sebuah kereta milik penghuni Flat D20 Seberang Jaya di sini musnah disyaki dibakar orang tertentu semalam.




Kejadian pukul 4 pagi itu membabitkan dua buah motosikal jenis Honda EX5, masing-masing satu Honda Wave, Yamaha, Modenas dan sebuah kereta Perodua Kelisa.

Pemilik motosikal, K. Tinesh Kumar, 23, berkata, dia enggan menuduh sesiapa tetapi dapat merasakan ia disebabkan oleh perbuatan khianat pihak tertentu.

“Beberapa hari lalu, saya ada menegur sekumpulan remaja yang bergaduh di sini dan mereka marah hingga hampir bertumbuk pula dengan saya.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti pula sama ada mereka ingin membalas dendam dan saya serahkan saja kepada polis untuk menyiasat,” ceritanya yang kerugian hampir RM4,000.

Tambahnya, dia menyedari kejadian itu selepas dikejutkan ibunya yang terdengar bunyi bising.

Menurut Tinesh, sebaik turun, dia dapati motosikalnya hangus dan dia turut menemui satu bekas berisi petrol berhampiran tempat kejadian.