Bila Kerbau Dah Naik Angin

Biasanya pegerakan kerbau ni agak perlahan dan boleh dikatakan lembab jugalah. bagaimanapun haiwan ini boleh bertidak agresif jika diganggu atau merasa terancam terutama ibu kerbau yang mempunyai anak. Jom baca berita dibawah mengenai kerbau yang dah mula naik angin..



ALOR GAJAH: Dua anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) nyaris maut dipijak kerbau yang naik minyak ketika operasi menangkap haiwan ternakan terbiar yang memasuki kebun durian penduduk kampung berhampiran Taman Lendu Bakti, dekat sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Aierul Nizam Norizan, 28, dan Saiful Nizam Said, 29, bernasib baik apabila hanya cedera dan lebam di paha, bahu serta belakang badan selain terseliuh tangan kanan.


Aierul Nizam berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, dia bersama 20 anggota penguat kuasa bergegas ke lokasi selepas menerima aduan terdapat kerbau memasuki kebun berkenaan.


Menurutnya, selepas dikepung bersama empat anaknya, haiwan itu cuba melarikan diri sebelum mengamuk.


“Kerbau itu menyerang Saiful Nizam menyebabkan dia cedera di dada dan bahu.


“Kami cuba menangkap haiwan itu, tetapi ia bertindak agresif menyebabkan saya melarikan diri dan terjatuh. Ketika itu saya dipijak di belakang badan, paha dan tangan kanan,” katanya.




Katanya, berikutan itu, tangannya terseliuh manakala paha kiri cedera.


Aierul Nizam berkata, dia dan Saiful Nizam terselamat selepas haiwan itu melarikan diri apabila dihalau rakan setugasnya yang turut menyertai operasi itu.



“Kami dihantar ke Hospital Alor Gajah dan diberikan suntikan.


“Selama empat tahun bertugas di Jabatan Penguat Kuasa MPAG, sudah dua kali kami diserang haiwan ternakan terbiar, tetapi kali ini paling serius,” katanya.