Hospital Malaysia Jual Organ Manusia

Gempar apabila terdapat Dakwaan bahawa perdagangan organ yang melibatkan orang asing berlaku di hospital dinegara ini..



KUALA LUMPUR 26 Sept. - Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pihak polis akan menyiasat dakwaan bahawa hospital di Malaysia terbabit dalam aktiviti perdagangan buah pinggang secara haram.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, kementerian memandang serius perkara itu yang dilaporkan oleh akhbar tempatan iaitu The Sun, The Star dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dalam usaha mengawal kegiatan itu jelasnya, kementerian sedang merangka undang-undang baru pemindahan organ yang lebih komprehensif.

"Pembedahan buah pinggang di negara ini hanya dilakukan di beberapa hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan beberapa hospital swasta di Lembah Klang.

"Dakwaan bahawa perdagangan organ yang melibatkan orang asing di hospital di negara ini adalah tidak munasabah dan jika benar mereka tidak terkecuali daripada menerima tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan berkenaan menyebut penderma yang berasal dari Bangladesh dibawa ke Asia Tenggara untuk tujuan menjual buah pinggang mereka.



Hasan berkata, Malaysia mempunyai lebih 22,000 pesakit peringkat kronik (ESRF) yang menerima terapi penggantian buah pinggang dan sejumlah besar daripada mereka turut mendapat manfaat daripada pemindahan organ itu.

"Pemindahan buah pinggang adalah rawatan terakhir, namun pesakit masih boleh terus hidup dengan menjalani rawatan dialisis. Justeru, kementerian melaksanakan pelbagai usaha untuk menggalakkan pendermaan organ namun masih tidak mencukupi. Penderma yang tidak mempunyai hubungan keluarga dengan pesakit perlu mendapat penilaian dan kelulusan oleh Unrelated Transplant Approval Committee yang dilantik oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

"Sehubungan itu, dakwaan pemindahan buah pinggang daripada warga zasing yang tidak mempunyai pertalian (dari Bangladesh) perlu mendapat kelulusan daripada kementerian terlebih dahulu. Berdasarkan rekod kami tidak ada sebarang permintaan atau permohonan seperti itu," katanya.