Indonesia Dan Malaysia Serumpun Tapi Tak Sekata

MEDAN: Sentimen dan romantisme "serumpun" tidak boleh lagi memperkasakan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, kata Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Ahmad Mokhtar Selat.




Beliau berkata sentimen serumpun itu akan mendatangkan rasa tidak puas hati kerana dalam perkiraan persaudaraan sudah tentu yang `tua' akan didahulukan dan yang muda harus mengalah dan memberi laluan.


"Akan terdapat banyak jangkaan dan harapan. Justeru bila timbul sesuatu isu yang boleh diselesaikan melalui dialog ia kadangkala dianggap sensitif, berbaur emosional kerana ada jangkaan yang satu pihak perlu mengalah," katanya.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk `Hubungan Malaysia-Indonesia: Langkah-langkah memperkasakannya " pada Seminar Antarabangsa `Pemerkasaan Persaudaraan Dua Bangsa Serumpun anjuran bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sumatera Utara, di sini hari ini.

Seminar itu adalah antara acara sempena lawatan persahabatan Majlis Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) ke Medan yang diketuai presidennya Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman bermula semalam sehingga Sabtu ini. - Bernama