Kanak-Kanak Mati Digigit Tebuan

Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun menemui ajal setelah terkene sengantan ribuan tebuan berhampiran rumahnya.



BESUT – Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan memeritkan apabila dia disengat lebih 50 ekor tebuan pokok ketika dalam perjalanan pulang ke rumah bersama ibu dan adiknya dengan menaiki motosikal di Kampung Pengkalan Nyireh dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 1 petang itu menyebabkan Tengku Hafizul Hafiq Tengku Anuar, 5, maut ketika dirawat di Hospital Besut di sini akibat kecederaan di kepala, leher dan badan.

Difahamkan, sebelum kejadian, Tengku Hafizul membonceng motosikal yang ditunggang ibunya, Rakiah Ismail, 31, manakala adiknya, Tengku Harizam Irfan, 2, berada di depan. Ketika itu, mereka baru sahaja pulang dari Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Tanjung Demong, dekat sini.

Menurut Rakiah, ketika hendak sampai rumah, sebahagian sarang tebuan yang berada di dahan sebatang pokok di tepi jalan tiba-tiba jatuh menyebabkan ribuan serangga berbahaya itu berterbangan lalu menyerang mereka.