Kandang Babi Jadi Kubur Suami

Akibat rasa marah yang melampau seorang isteri menembak mati suaminya lalu dikuburkan di dalam kandang babi.



FLORIDA: Seorang wanita ditangkap selepas polis mendakwa dia menembak mati suaminya dalam satu pertengkaran dan mengebumikan mayat lelaki itu dalam kandang babi.

Jennifer Lynn Hearn menulis dalam laman Facebooknya mengenai bagaimana suaminya, Carl 'Cliff' Hearn, 41, meninggalkannya dan gembira kerana hidup membujang semula.


Dia ditangkap malam tadi atas tuduhan membunuh selepas penyiasat menemui mayat suaminya yang sudah reput.

Mayat berkenaan ditemui dalam lubang sedalam setengah meter di kandang babi di belakang sebuah setor keluarga itu di Melbourne, Florida.


Jennifer memberitahu penyiasat, dia menembak suaminya selepas bertengkar waktu malam dan kemudian menanam mayatnya, kata syerif Melbourne, Lt Tod Goodyear.


Akhbar Florida Today melaporkan, Jennifer memberitahu rakannya enam minggu lalu bahawa suaminya berpindah dan tinggal bersama teman wanitanya.

Dia kemudian menulis dalam Facebooknya dengan berkata: “Wow. Saya begitu gembira kerana ada orang yang meninggalkan saya supaya ada orang lain dapat mengisi kehidupan saya. Saya suka hidup membujang.” Menurut Florida Today, jiran mengetahui hubungan buruk Jennifer dan suaminya dan ada dakwaan mengenai penderaan, kecurangan serta penggunaan dadah oleh si suami.


Pasangan itu yang mempunyai tiga anak berpisah dan bersatu semula beberapa kali sebelum ini. - Agensi