Kasino Dalam Bangsal Main Tai Sai

Di GEORGE TOWN Tindakan penjaga tempat perjudian haram yang tertidur ketika bertugas membolehkan polis menyerbu kawasan tersebut sebelum menahan 79 individu yang leka bermain judi di sebuah bangsal di Kampung Batak, Relau.




Selain tangkapan, serbuan pukul 1 pagi itu juga dapat merampas wang RM1,158, tiga dadu, cip, meja, 30 kerusi plastik dan sebuah mesin kira.

Difahamkan, tempat tersebut menjadi tumpuan kaki judi kerana ia dijamin selamat apabila pengawal akan memberi amaran jika tempat itu didatangi pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, ketika serbuan, kesemua 57 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 50 dan 80-an itu sedang asyik bertaruh.

Katanya, bangsal kayu itu pernah diserbu minggu lalu dan dapat menahan 15 individu.

"Siasatan awal mendapati mereka sedang bermain judi 'Tai Sai' dan ada yang minta dibebaskan dengan alasan mereka mempunyai penyakit.

"Kita sebelum ini telah tiga kali gagal membuat serbuan kerana kaki judi mengupah pengawal di kawasan pintu masuk. Pengawal itu bagaimanapun tidak ditahan," katanya yang memberitahu ada kaki judi yang sempat melarikan diri melalui semak.

Kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang ketika didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau dekat sini semalam mengikut Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953.