Kata Kata Mutiara Akal Fikiran

"Gunakan akal anda seolah-olah nyawa anda bergantung kepadanya". Ungkapan terbaik yang harus anda jadikan sebagai pegangan hidup.



Hendaklah diketahui bahawa akal memainkan peranan penting dalam memahami hakikat ketuhanan dan Tuhan itu sendiri. Akal adalah merupakan pintu pertama dalam menegenal Tuhan. Dalam konteks bicara ini ia akan lebih ditujukan kepada Allah Taala.

Hakikat akal

Akal adalah satu satu daya yang dicipta ALLah Taala bagi manusia untuk memikir, mengkaji dan memahami sesuatu mengikut syarat-syaratnya yang tertentu. Ini adalah makan umumnya. Dari segi keujudan, ia adalah satu jisim halus yang menjadi rahsia ALLah Taala. Dalam al-Quran ALLah Taala telah menjelaskan jisim halus ini dengan FirmanNya yang bermaksud “Apabila mereka bertanya kepada engkau (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah: Roh itu urusan Tuhan. Dan kamu hanya diberitahu sedikit sahaja” (al-Isra’ :85). Maka jisim halus itu berfungsi kepada empat fungsi iaitu sebagai hati, roh, nafsu dan akal. Maka akal itu adalah sebangsa dengan hati, roh dan nafsu Cuma berlainan fungsi.

Ada dari kalangan pendebat Kristen membuat dakwaan bahawa Muslim tidak mengetahui tentang roh, kerana ayat di atas mengatakan roh itu rahsia Tuhan. Memang benar bahawa roh itu rahsia ALLah Taala. Dapatkah sesiapa menerangkan hakikat roh? Tiada sama sekali. Namun jangan lupa dengan hujung ayat “…kamu hanya diberitahu sedikit sahaja”. Maka dengan ini Muslim masih mendapat ilmu untuk membicarakan tentang roh. Ilmu ini dikurniakan ALLah Taala kepada Muslim pilihan dari kalangan ahli tasauf. Mereka inilah yang banyak membicarakan tentang roh, nafsu, hati dan akal. Ia dijelaskan secara ibarat kerana hakikat jisim halus itu hanyalah diketahui oleh ALLah Taala sahaja. Tentang hakikat roh, hati dan nafsu ini akan dijelaskan dalam bab tasauf kelak, insya’ALLah Taala.

Takluk

Takluk pada bahasa ketuhanan Islam ialah “tuntut sesuatu kepada perbuatan yang lebih lagi setelah ia ujud ia”. Dengan erti bahasa umum yang mudah difahami, takluk ialah bidang kuasa atau bidang lingkup tugas sesuatu itu. Maka takluk akal ialah menerima sesuatu yang wajib dan menolak perkara yang mustahil pada kejadian dan kewajarannya.

Wajib pada akal

Secara rengkasnya wajib pada akal ialah akal menerima sesuatu itu ujud dan akal tidak menerima tiadanya.. Wajib pada akal bukanlah hanya sangka-sangkaan sahaja tetapi disertai dengan bukti atau hujah perbahasan. Akal hanya akan menerima sesuatu itu ujud samada dari segi fakta atau hujah kewajaran kajadian dan pada akal norma umum.

Wajib pada akal ini berkait dengan wajib pada adat. Contohnya wajib pada adatnya api membakar kayu kering dan tidak membaakr kayu yang basah kerana lantaran adanya air.

Contoh wajib pada akal ialah akal menerima ujudnya pencipta bagi alam ini dan akal menolak sama sekali ia terjadi sendiri. Alam adalah baharu dan yang baharu pasti ada pencipta.

Mustahil pada akal

Mustahil pada akal bermaksud akal menolak sesuatu itu tidak ujud dan akal menerima ia ujud. Ia adalah lawan bagi wajib pada akal. Seperti wajib pada akal, musahil pada akal juga bukan sangka-sangkaan melainkan ia disertakan dengan bukti atau hujah perbahasan, dari segi fakta dan kewajaran kajadian dan pada akal norma umum.

Seperti wajib pada akal, mustahil pada akal juga berkait dengan mustahil pada adat. Contohnya mustahil api membakar kayu basah kerana adanya sebab aiar.

Contoh, akal menolak alam ini ujud tanpa pencipta dan menolak pencipta alam ini tidak ujud.

Harus pada akal

Harus pada akal ialah samada sesuatu itu ujud atau boleh jadi tidak. Contohnya harus alam ini terjadi atau juga tidak terjadi. Kerana terjadinya alam ini bukanlah mesti terjadi. Ia adalah kehendak Penciptanya yakni Tuhan.

Namun ditegaskan di sini ialah akal bukanlah penentu mutlak dalam hal ketuhanan ini. Seperti permulaan tulisan ini dinyatakan bahawa akal hanyalah pembuka pintu untuk memahami hakikat ketuhanan. Bukanlah semua hakikat ketuhanan dan perkara ghaib yang dapat diketahui oleh akal, melainkan dapat dikesan oleh hati nurani. Contohnya dalam perkara mu’jizat, ia adalah berlawanan dengan akal, dan ia mempunyai kaedah dan perbahasan tersendiri di luar konteks akal.

Pintu mengenal ALLah mealui pandangan akal adalah secara umum keseluruhan hakikat akal itu. Akan timbul persoalan bagaimanakah untuk menerangkan hakikat ketuhanan dan Tuhan pada orang yang kurang akal.Dalam hal ini theologi Islam mempunyai tahap tertentu dalam menerangkan hakikat ketuhanan dan Tuhan itu. Bagi kanak-kanak tidaklah diajar yang mendalam dan tinggi-tinggi, tetapi sesuai dengan tahap kemampuan akalnya. Dan bagi orang dewasa ia tahap pembelajarannya sesuai pula dengan tahap kemampuan akal orang dewasa. Demikian juga tahap pembelajarannya sesuai pula antara orang yang kurang kekuatan pemahamannya dan yang kuat pemahamannya.

Theologi Islam mempunyai jalan penyelesaian terhadap peringkat dan tahap kemampuan akal manusia, bukan sebarang ajar tanpa mengira tahap kemampuan umur.