Logo Halal Jakim 2012

Kini tiada keraguan lagi kerana jakim hanya membenarkan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh digunakan dan diiktiraf.




PUTRAJAYA - Mulai 1 Januari depan, hanya logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh digunakan dan diiktiraf.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan Parlimen Julai lepas dan akan berkuat kuasa 1 November ini.

"Ini bermakna premis makanan, restoran, hotel dan pihak-pihak lain yang sebelum ini menggunakan logo halal bukan dikeluarkan Jakim, perlu membuat permohonan baharu kerana selepas tarikh 1 Januari nanti, semua logo halal sedia ada adalah terbatal.

"Mana-mana pihak lain juga tidak boleh lagi memperakukan atau mengeluarkan sijil halal ataupun membuat pengisytiharan sendiri berhubung status halal," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, selepas tarikh itu mereka yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM100,000 bagi orang perseorangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ismail Sabri berkata, bagi pihak industri pula, tempoh setahun diberikan untuk menukar semua produk keluaran mereka dengan logo halal Jakim.