Maut Kerana Tiang Gol

Hasrat seorang pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 di sini untuk memiliki sepasang kasut bola tidak kesampaian apabila dia maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol.



Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Allahyarham Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, anak keempat daripada lapan beradik dikatakan bersama-sama rakan-rakannya sedang bermain bola di padang SK Kampung Jawa 1. Dia mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepalanya.

Bapa mangsa, Abdul Rahman Sarbaini, berkata, beliau yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jirannya mengatakan anaknya mengalami kemalangan akibat bermain bola di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di kuarters guru Kampung Jawa.

Apabila sampai ke tempat kejadian, ibu mangsa melihat banyak darah keluar daripada kepalanya dan Muhammad Fakhrul sudah terbaring tidak sedarkan diri.

Melihat kecederaannya yang parah, ibunya terus menghantarnya Muhammad Fakhrul ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan namun dia gagal diselamatkan.