Meninggal Dipangkuan Ayah

DETIK AKHIR... Che Tom bersama Samsudin menyiram dan menabur bunga mawar di pusara arwah anaknya.



KAMUNTING: “Adik penat... penat sangat, tolong ayah... tolong adik,” itu kata-kata terakhir penghidap barah tulang kronik, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi bapanya, Samsudin Hasbullah, 50, di kediaman mereka di Taman Mewah, di sini, malam kelmarin.

Anak bongsu pasangan Samsudin dan Che Tom Osman, 45, itu meninggal dunia jam 11.05 malam selepas menderita barah berkenaan sejak tiga tahun lalu.


Kisah penderitaan arwah mendapat perhatian meluas media pada pertengahan Ramadan lalu apabila impiannya untuk berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berjaya ditunaikan hasil usaha pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS).

Perbualan menerusi telefon bimbit selama lima minit dengan pemimpin negara itu sedikit sebanyak memberi ‘kelegaan’ kepada perit derita ditanggung remaja berkenaan biarpun pakar perubatan menjangkakan hayatnya tidak begitu panjang serta tidak sempat menyambut Aidilfitri.


Bagaimanapun, berkat doa orang ramai membolehkan Nurul Atikah merasai kemeriahan Aidilfitri buat kali terakhir dalam hidupnya sebelum meninggal dunia.


Samsudin berkata, dia sekeluarga bersedia dengan pemergian arwah memandangkan anaknya sudah lama menderita, malah barah dihidapi tidak menunjukkan pemulihan.

“Saya menerima kehilangannya sejak tiga tahun lalu selepas dia disahkan menghidap barah itu. Namun, berkat doa dan rawatan diberi, dia mampu bertahan seketika sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang, di sini, pagi semalam.


Bagaimanapun, katanya, arwah menunjukkan tahap kesihatan memberangsangkan sepanjang 10 hari lalu selepas mengambil beberapa ubat-ubatan, malah anaknya juga semakin kurang bergantung kepada ubat tahan sakit.

Menurutnya, dia juga gembira dengan perkembangan itu memandangkan selera makan arwah bertambah, banyak bercakap dan kurang mengadu sakit.


“Namun, episod gembira itu hanya seketika sebelum arwah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Malah, sejak seminggu lalu arwah sangat rapat dengan saya. Kami sering berbual dan makan bersama selain menonton bersama rancangan televisyen diminatinya iaitu Mr Bean,” katanya.