Misi Apolo Dibuktikan

Imej yang diambil oleh LRO NASA yang dikeluarkan kelmarin merakamkan tapak roket Apollo 17 mendarat di bulan dan kesan jejak tayar kenderaan dan bekas tapak kasut yang ditinggalkan oleh angkasawan misi Apollo beberapa dekad lalu dapat dilihat dengan jelas.



WASHINGTON 7 Sept. – Sebuah kapal angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakamkan gambar permukaan bulan yang begitu jelas sehingga menampakkan jejak tayar kenderaan dan bekas tapak kasut yang ditinggalkan oleh angkasawan misi Apollo beberapa dekad lalu.

Tiga imej resolusi tinggi yang dipancarkan oleh Pengorbit Tinjauan Bulan (LRO) milik NASA menunjukkan butir-butir jelas tapak pendaratan di bulan bagi misi angkasa lepas Apollo 12, 14 dan 17 pada akhir 1960-an dan awal 1970-an.

Malah imej itu mendedahkan setiap haluan jejak tayar apabila angkasawan Apollo yang meneroka permukaan bulan dengan memandu kenderaan lasak menukar arah.

“Kami boleh menjejaki semula langkah angkasawan dengan lebih jelas untuk melihat lokasi mereka mengambil sampel permukaan bulan,” kata ahli geologi bulan, Noah Petro di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard di Greenbelt, Maryland.

Imej itu juga memperlihatkan jejak-jejak yang jelas pada permukaan bulan apabila angkasawan keluar dari modul Apollo dan meneroka dengan berjalan kaki.

NASA berkata, visual terbaru yang menakjubkan itu dapat dirakamkan disebabkan perubahan pada orbit kamera altitud rendah yang membolehkan gambar diambil dari jarak kira-kira 21 kilometer oleh LRO. – AFP