Ribut Mengganas Di Kuala Trengganu

Ribut yang agat kuat telah melanda Kuala Terengganu semalam mengakibatkan banyak kerosakan rumah dan kemudahan awam.





KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Ratusan rumah dan kemudahan awam rosak akibat ribut di beberapa tempat sekitar daerah ini khususnya di Seberang Takir, Dataran Shahbandar di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam yang turut menyebabkan bangsal-bangsal perniagaan di pinggir muara runtuh dan diterbangkan angin.

Beberapa pondok rehat dan papan iklan turut tumbang manakala banyak pokok menghempap kenderaan dan mengakibatkan talian elektrik serta telefon terputus.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian selama kira-kira sejam dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sehingga lewat petang ini masih menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan wakil-wakil rakyat agar segera menghulurkan bantuan bagi membaiki kerosakan rumah penduduk yang teruk terjejas.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, beliau telah mengarahkan wakil-wakil rakyat di kawasan yang teruk dilanda ribut memberi bantuan segera.

"Jangan tunggu lagi, kita harap bantuan segera diberikan terutama untuk membaiki atap rumah yang rosak dilanda ribut, " katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Beliau menyifatkan ribut yang berlaku semalam sebagai agak luar biasa berlaku di negeri ini memandangkan kebiasaannya melanda negeri-negeri di sebelah utara seperti Kedah dan Perlis.

Katanya, kerajaan negeri juga masih menunggu laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami sebelum bantuan dihulurkan.