Rumah Mat Sabu Dibakar

Selepas seminggu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan, kediaman keluarga Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Jalan Belat 19/32C di Seksyen 19 di sini pula menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab semalam.




Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam itu, bahagian pagar rumah Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah disimbah minyak tanah sebelum dibakar.

Ketika kejadian, anak kedua Mat Sabu, Nurul Huda, 28, berada di rumah itu manakala ahli politik itu dan isterinya berada di utara tanah air.

Mat Sabu mengikuti satu program politik di Pulau Pinang manakala isterinya, Normah Alwi, 57, pula menetap di Perlis untuk menjaga ibu bapanya yang dimasukkan ke hospital.

Seorang lagi anak lelakinya, Ahmad Saiful Islam, 23, yang turut menetap di rumah sama belum pulang kerana bertemu rakan di luar.