Safee Sali Bakal Pengganti Craig Bellamy

Agak keterlaluan jika dikatakan penggempur berbisa Harimau Malaya, Safee Sali bakal pengganti Craig Bellamy di Cardiff City.



Impian itu dilihat cukup besar untuk digalas Safee yang akan menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan England tersebut kira-kira dua minggu bermula hari ini hingga 27 September.

Bagaimanapun, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim berkata, penyerang sensasi skuad kebangsaan itu akan berusaha menampilkan prestasi terbaik bagi memikat hati panel pemilihan Cardiff.

Jelasnya, jika gagal menyarung jersi Cardiff musim ini, Safee tetap tidak akan berputus asa untuk kembali mencuba nasib pada musim depan.

“Itu semua bergantung kepada sejauh mana keazaman Safee sendiri untuk beraksi di pentas yang lebih tinggi selepas menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya dari Selangor sebelum ini.

“Kita harus berpijak di bumi nyata, kekosongan jentera serangan Cardiff selepas penghijrahan Bellamy (ke Liverpool) bukan bermakna peluang Safee terbuka luas kerana mereka masih mempunyai rangkaian penyerang yang hebat-hebat dari Scotland, Wales, Perancis dan juga dari England sendiri.

“Saya harap peminat Safee tidak kecewa dan terus mengecam beliau sekiranya tidak terpilih memandangkan Safee akan berusaha memberikan yang terbaik, selain benar-benar bersyukur dengan ujian pemilihan yang ditawarkan Cardiff,” kata Zakaria kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, Safee kini telah bersedia 100 peratus daripada aspek mental dan fizikal setelah menjalani latihan intensif selama beberapa hari bersama Pelita Jaya sebelum ini.

“Cuma pada masa sama, saya lihat Safee masih tertanya-tanya mengenai bentuk latihan, cara pemilihan, faktor cuaca dan corak permainan yang pastinya berbeza daripada apa yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Namun, saya yakin ia tidak akan mendatangkan masalah kepada Safee yang pastinya akan cepat menyesuaikan diri sebaik berada di sana selama dua minggu selepas ini,” katanya yang akan turut menemani Safee ke Cardiff.

Safee dijangka berlepas ke Cardiff City dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.35 pagi tadi selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada majikannya, Pelita Jaya bagi menjalani sesi pemilihan tersebut.

Selain Safee, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim juga dilaporkan akan turut menjalani sesi pemilihan bersama Cardiff selama tiga minggu pada hujung Oktober depan.

Bagaimanapun, ketika ini Safiq mahu mengekalkan konsentrasi membantu Selangor dalam misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 terlebih dahulu.