Siapa Mat Indera Pejuang Atau Pengganas

Mat Indera merupakan komunis melayu yang dikatakan memimpin pasukan komunis untuk menyerang Balai Polis Bukti Kepong pada 23 Februari 1950.



Biarpun isu ini telah lama berlaku, tetapi kini tiba-tiba nama Mat Indera menjadi popular. Kini pelbagai pihak mula mencari siapa Mat Indera. Timbul dua pendapat mengenai Mat Indera, ada yang menganggap dia sebagai hero dan ada pula menganggap dia sebagai pengganas komunis. Telah timbul banyak salah faham mengenai Mat Indera.

Terbaru, akibat salah faham ini, Abu Bakar Chik yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, pihaknya akan menganjurkan satu seminar khas bagi mengkaji balik sejarah ini, antaranya kes Mat Indera. Selain itu, beliau turut mengatakan bahawa Mat Indera adalah seorang guru agama yang mendapat tauliah agama dari sultani Johor. Selain itu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga turut mencadangkan agar kes ini dikaji.





Jom ketahui siapa Mat Indra dengan lebih dekat

Muhammad (Ahmad) bin Indera atau lebih dikenali sebagai Mat (Muhammad) Indera merupakan salah seorang pemimpin komunis yang berada di bawah perintah Chin Peng. Dia menjadi terkenal kerana memimpin serangan terhadap pihak Polis dalam peristiwa Bukit Kepong.

Ahmad bin Indera dikatakan salah seorang daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela, Pahlawan Siak Seri Inderapura yang pernah menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak. Beliau dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor.

Ahmad bin Indera mendapat pendidikan awal di sekolah agama sehingga tahun 1937. Dia kemudian pernah berkhidmat sebagai seorang guru agama di Sekolah Agama Parit Setongkat, Muar.

Ahmad bin Indera kemudiannya terbabit dalam politik apabila menyertai ahli sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan matlamat membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris.



Apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan, Ahmad bin Indera telah bertindak menyertai pergerakan gerila komunis di dalam hutan, kemungkinannya terpengaruh dengan perjuangan Indonesia menentang Belanda. Beliau bergerak cergas di sekitar kawasan Lenga, Pagoh, Jorak, Bukit Kepong dan Poris. Dia mengetuai pergerakan komunis dibahagian selatan yang merangkumi daerah Muar, Batu Pahat, Segamat dan Melaka.

Akibat dari peristiwa itu, pihak Inggeris menawarkan $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan Muhammad Indera. Pada 14 Oktober 1952, Muhammad Indera telah diperangkap oleh anggota Cawangan Khas Batu Pahat dalam satu perjumpaan di Kampung Seri Medan, dan beliau ditangkap.

Muhammad Indera kemudiannya menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di penjara Taiping. Keesokan hari, mayatnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.