Tembak Rakan Disangka babi

Hobi seorang lelaki yang gemar berburu babi hutan pada setiap minggu memakan diri apabila dia maut selepas terkena tembakan yang disyaki dilepaskan oleh rakannya di kebun getah di Kampung Sungai Limau, Mukim Kupang dekat sini kelmarin.




Kejadian pukul 5.30 petang itu mengakibatkan lelaki berketurunan Thailand, Chamren Duroon, 56, dari Kampung Pegang, Mukim Pulai mati di tempat kejadian.

Difahamkan, rakan mangsa bertindak melepaskan tembakan selepas menyangka Chamren ialah haiwan buruan.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya sering berburu setiap minggu dan mereka telah berpecah sebaik sampai di kebun getah tersebut.

Katanya, rakan mangsa yang mungkin ternampak objek bergerak dan disangka babi hutan kemudian telah melepaskan tembakan menggunakan senapang patah sebelum terkejut melihat mangsa berlumuran darah.

“Mungkin keadaan di situ gelap disusuli dengan hujan menyebabkan rakan mangsa tidak perasan lalu melepaskan tembakan. Tempat kejadian kira-kira 800 meter dari jalan utama.

“Rakan mangsa berusia lingkungan 50-an ditahan ketika dia datang untuk membuat laporan di Balai Polis Kupang mengenai kejadian tersebut,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Tambahnya, selain lelaki itu, polis turut merampas selaras senapang. Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.

Sementara itu, adik mangsa, Rakwi, 52, berkata, tiada apa-apa perubahan yang dilihat pada abangnya ketika mereka bertemu pada pukul 3 petang.

“Abang tidak banyak cakap dan hanya memberitahu yang dia hendak pergi berburu dengan rakan. Tiga jam kemudian, saya terima panggilan mengenai kejadian itu,” ceritanya.

Mayat mangsa dituntut keluarganya tengah hari semalam sebelum dibakar.