Tikam Menikam Dimajlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan satu pasangan pengantin dicemari insiden berdarah apabila empat jemputan cedera selepas diserang seorang tetamu tidak diundang di Taman Subang Mas, Subang Jaya Shah Alam.



Kejadian pukul 10.45 malam itu dikatakan berlaku apabila suspek yang merupakan warga Indonesia datang bersama dua lagi rakannya ke majlis tersebut selepas berlaku perselisihan faham dengan salah seorang ahli keluarga pasangan pengantin.

Difahamkan, siasatan awal mendapati kejadian berpunca selepas bahu suspek dilanggar oleh tetamu di situ.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, sebaik bahunya dilanggar, suspek terus bertengkar dan membuat kacau.

Katanya, beberapa jemputan kemudian cuba menenangkan suspek.



“Suspek kemudian terus mengeluarkan sebilah pisau. Dia yang semakin sukar dikawal kemudian telah menikam dada dan perut empat tetamu dengan dua daripadanya parah.

“Polis kemudian menahan suspek dan dua rakannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.