Ada Pada Manusia Tiada Pada Haiwan

Mengapa diciptakan pada manusia tetapi tida pada haiwan, renungkanlah nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada manusia, iaitu berbicara yang merupakan kenikmatan yang membezakan di antara manusia dengan binatang.

Ada Pada Manusia Tiada Pada Haiwan

Dengan berbicara itulah manusia boleh menyatakan isi hati nuraninya, dan juga dapat memahami apa yang ada di hati orang lain.

Kemudian renungkanlah tentang sesuatu yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan sesuatu yang tidak diberikan oleh-Nya yang juga membawa kemaslahatan bagi manusia. Antaranya ialah "cita-cita". Dengan adanya cita-cita dunia ini dibangun, dan keturunan manusia tetap berlangsung dengan tujuan agar generasi yang lemah dapat mewarisi pembangunan dunia ini dari generasi yang kuat. Sebab pada mulanya makhluk itu diciptakan dalam keadaan lemah.

Andaikata manusia tidak menemui peninggalan-peninggalan suatu generasi yang telah bertempat tinggal dan telah membangun, maka ia tidak akan mempunyai tempat tinggal dan tidak akan memiliki peralatan yang dapat dimanfaatkan. Jadi dengan adanya cita-cita itulah yang menjadi sebab orang sekarang mahu bekerja dengan harapan dapat dimanfaatkan oleh orang-orang kemudian. Begitulah selanjutnya manusia saling mempusakai hingga datang hari Kiamat.

Dihalanginya manusia mengetahui batas umurnya (ajalnya) adalah untuk suatu kemaslahatan. Sebab, jika ia mengetahui masa hidupnya dan ternyata masa hidupnya itu pendek (sebentar), maka hidupnya tentu tidak akan tenang. la tidak bebas untuk mewujudkan keturunan, membangun bumi ini dan juga yang lainnya. Jika ia mengetahui masa hidupnya, dan ternyata memang panjang, maka ia tentu bersenang-senang dalam menuruti keinginan nafsunya, ia berani melampaui batas-batas agama dan berani melakukan hal-hal yang boleh menghancurkan dirinya. Di samping itu juru dakwah tidak dapat menghentikan dan mencegahnya dari segala yang mengakibatkan kehancurannya. Jadi tiadanya pengetahuan manusia terhadap had masa hidup atau usianya adalah kebaikan baginya, iaitu agar ia mempunyai rasa takut terhadap datangnya kematian yang mendadak, dan agar ia bersegera melakukan amal-amal soleh sebelum habis masa hidupnya.

Selanjutnya renungkanlah tentang pelbagai benda yang boleh diambil manfaatnya yang mana di dalamnya terdapat kemaslahatan dan kelazatan iaitu pelbagai jenis makanan dengan aneka rasa, buah-buahan dengan pelbagai warna dan keindahan-nya, juga beraneka jenis kenderaan untuk ditunggangi dan menghasilkan bermacam manfaat, juga pelbagai jenis burung yang kicauannya enak didengar, mata wang dan mutiara yang boleh disimpan, atau dijadikan sebagai alat mendapatkan tujuan dan pelbagai kepentingan. Begitu juga bermacam-macam ramuan pengubatan yang dijadikan sebagai alat untuk menjaga kesihatan, dan juga pelbagai jenis binatang yang boleh digunakan sebagai persediaan makanan, dan untuk yang lainnya seperti untuk membajak, membawa barang-barang dan sebagainya. Di samping itu, bunga-bunga dan lainnya dari pelbagai jenis wangian yang boleh dinikmati, dan pelbagai jenis pakaian. Itu semua adalah hasil dari akal dan pemikiran yang diciptakan pada manusia. Oleh kerana itu renungkanlah tentang keajaiban-keajaiban yang telah diterapkan pada manusia.

Antara hikmah yang sempurna ialah perbezaan sesama umat manusia dalam memiliki pelbagai kemanfaatan. Hal itu bertujuan untuk membezakan di antara si miskin dan si kaya. Jadi yang demikian itu merupakan sebab untuk membangun dunia ini. Dengan sebab itu umat manusia boleh menghindari segala yang menimbulkan bahaya dalam pelbagai keadaan. Jadi perumpamaan mereka dalam kesibukan yang mereka kerjakan adalah bagaikan anak kecil. Sebab ia (anak kecil) kerana masih kurang kecerdasan akalnya berani melakukan sesuatu pekerjaan meskipun mungkin membahayakannya. la tidak mahu menyelesaikannya, bahkan jika ia melaksanakannya akan menjadi bencana baginya.

Sudah banyak orang yang menghitung hikmah-hikmah dan rahsia-rahsia untuk menjadikan tegaknya dunia ini hingga masa tertentu. Akan tetapi hal itu bukanlah hal yang boleh dihitung, dan tidak boleh dibatasi dengan jumlah. Tidak boleh mengetahui puncak hakikatnya dan juga tidak boleh menghitung jumlahnya kecuali Tuhan yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui, yang rahmat dan ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, dan Dialah yang boleh menghitung segala sesuatu.

PENYEMPURNAAN HIKMAH PENCIPTAAN MANUSIA

Perlu anda ketahui bahawa Allah S.W.T. yang Maha Mencipta-kan, telah memuliakan manusia. Dalam kaitan ini Allah S.W.T. telah berfirman yang maksudnya:

"Dan sesungguhnya
telah Kami muliakan anak-anak Adam.
Kami angkut mereka di daratan dan di lautan,
Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan
Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna
mengatasi kebanyakan makhlukyang telah Kami ciptakan."
(Surah al-Isra' : 70)

Antara pemberian Allah untuk memuliakan manusia ialah akal yang merupakan pemberian yang amat bernilai. Dengan akal itulah manusia boleh mengingat kebaikan. Juga dengannya ia dipersamakan dengan malaikat hingga ia berkemampuan mengenai Penciptanya dengan merenungkan makhluk-makhluk-Nya dan sifat-sifat-Nya, serta merenungkan hikmah dan amanat yang dikurniakan dalam dirinya. Dalam hal ini Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Dan (juga) pada diri kamu sendiri.
Maka apakah kamu tidak memperhatikan? "
(Surah al-Dhariyat: 21)

Jadi perenungan manusia terhadap dirinya, terhadap akal yang dipastikan adanya tapi tidak mampu diketahui sifatnya, adalah termasuk bukti-bukti yang agung mengenai adanya Pencipta yang menciptakannya, mengaturnya, menjadikannya dan membentuk rupanya.

Sesungguhnya manusia itu boleh merenungkan tentang akal, bagaimana di dalamnya terdapat pengaturan, pelbagai jenis ilmu, sebagai tempat mengenai Tuhan, sebagai alat penglihatan yang bijaksana, sebagai pembeza di antara manfaat dan bahaya. Walaupun akal itu pasti ada, namun manusia tidak boleh melihat hakikatnya, tidak boleh mendengar suaranya, tidak boleh dirasa kewujudannya, tidak boleh mencium baunya, tidak boleh menemukan rupanya dan juga rasanya.

Sekalipun demikian akal adalah yang memerintah, yang dituruti perintahnya, menghendaki peningkatan, sebagai pemikir, mampu mengetahui hal-hal yang ghaib, dan memperhitungkan segala urusan. Apa yang dipandang sempit oleh penglihatan, boleh menjadi luas menurut pandangan akal. la mempercayai terhadap apa yang dirahsiakan oleh tirai-tirai (hijab) Allah S.W.T. mencakupi apa saja yang ada di antara lapisan langit serta apa yang ada di atasnya, dan bumi serta apa yang ada di bawahnya sehingga seolah-olah ia menyaksikannya lebih jelas daripada penglihatan mata. Jadi akal adalah sebagai tempat ilmu dan penyimpan maklumat yang bermanfaat, juga sebagai sumber ilmu pengetahuan. Setiap kali bertambah ilmu pengetahuan yang dicapai oleh akal, maka akal itu semakin bertambah luas wawasan dan kekuatannya.

Akal jugalah yang memerintahkan kepada anggota tubuh untuk bergerak. Hampir saja tidak boleh dibezakan di antara kehendak bergerak dan bergerak cepat untuk melakukan ketaatan, manakah yang lebih dahulu, meskipun kehendak bergerak itu lebih dahulu.

Meskipun akal itu boleh mengatur anggota tubuh yang lain, menguasai ilmu pengetahuan, dan memiliki kebijaksanaan, ia tetap tidak mampu mengetahui dirinya sendiri. Sebab tidak mungkin baginya menyifati hakikat dirinya melebihi dari pengakuan bahawa dirinya menyerah kepada apa yang menjadi sifatnya.

Akal itu mengakui kebodohannya terhadap dirinya, namun bersama kebodohannya terhadap dirinya sendiri ia mengerti dan bijaksana, ia boleh membezakan kelembutan pengaturan Allah S.W.T., dan juga dapat membezakan kehalusan ciptaan-Nya. Segala urusan berjalan kerana memang ia telah mengaturnya, ia mengira pelbagai akibat dan memang ia boleh menggambar-kannya. Juga ia dapat menunjukkan pelbagai perkara beserta perbezaan-perbezaannya.

Jadi ketidaktahuannya terhadap dirinya dan pengertiannya tentang apa yang ia atur dan yang ia bezakan, adalah menunjuk-kan bahawa dia diciptakan, dibentuk, dan dikuasai. Sebab meskipun ia diberi kebijaksanaan dan wawasan yang tajam, tetapi ia lemah dan hina.

Terkadang ia bermaksud mengingat-ingat sesuatu hal, tetapi ia lupa. la ingin bersenang-senang, tetapi malah susah yang didapati. Ia ingin melupakan sesuatu, tetapi sebaliknya ia ingat. Itu semua membuktikan bahawa ia adalah makhluk yang dikuasai. Meskipun ia mengerti apa yang ia ketahui, tetapi ia adalah bodoh terhadap hakikat yang ia ketahui itu. Meski pun ia boleh mengatur, tetapi ia tidak mengerti berapa jauh jarak suaranya, bagaimana cara keluarnya, bagaimana rangkaian huruf-huruf dalam kalimatnya, berapa jarak pandangannya, bagaimana ia menyusun cahayanya. la tidak mengetahui berapakah kadar kekuatannya, bagaimanakah cara menyusun kehendak dan cita-citanya.

Dengan aspek ilmiah yang dimiliki oleh akal dan kebodohannya terhadap hakikat yang ia ketahui itu menunjukkan bahawa ia adalah diciptakan secara rapi, penuh hikmah yang sekaligus menunjukkan adanya Pencipta yang menitahkan, Maha Menghendaki, lagi Maha Mengetahui.

Kemudian perlu diketahui bahawa pada diri manusia itu diciptakan "keinginan" yang sesuai dengan wataknya. Jika cahaya akal itu dipergunakan sesuai dengan ketentuan yang diperintahkan, maka ia mendapat jalan keselamatan. la akan beruntung kelak di syurga yang merupakan alam kemuliaan. Tetapi jika dipergunakan untuk menuruti keinginan hawa nafsunya, maka ia akan terhalang mengetahui hal-hal yang hanya boleh diketahui oleh akal itu sendiri, dan hal yang bakal terjadi di akhirat. Apakah berupa pahala ataupun seksa.

Akal merupakan alat bagi manusia untuk mengerjakan pelbagai pekerjaan dan menentukannya sesuai dengan ketentuan dan pengaturan yang ada dalam hati dan khayalannya. la juga sebagai alat untuk memahami hal yang perlu difahami meng-gunakan keamatan berfikir dan mengetahui kemuliaan budi pekerti yang ada setiap masa dan pada setiap umat. Juga sebagai alat untuk menilai baik terhadap tradisi orang-orang yang berakal sihat, dan menilai buruk terhadap tradisi yang ada pada mereka yang bersifat buruk.

Oleh kerana itu renungkanlah, bahawa manusia itu diciptakan sebagai makhluk yang mulia. Sebab telah diciptakan pada dirinya pelbagai pengetahuan yang berfaedah baginya. Kerana ibarat bekas boleh dinilai mulia lantaran isi yang diletakkan padanya. Oleh kerana hati para hamba Allah iaitu umat manusia sebagai tempat mengenal (makrifat) kepada Allah S.W.T. maka hati manusia dimuliakan dengan itu semua. Oleh kerana ilmu Pencipta, kehendak-Nya, dan kebijaksanaan-Nya telah terdahulu menyatakan bahawa makhluk semua akan kembali ke alam selain alam dunia ini, iaitu alam akhirat, maka Dia tidak menciptakan kekuatan pada akal mereka yang mampu melihat hukum-hukum tentang alam akhirat itu.

Tetapi Dia menyempurnakan cahaya yang diberikan kepada mereka dengan cahaya kerasulan. Oleh kerana itu Allah S.W.T. mengutus para rasul untuk membawa berita gembira kepada orang-orang yang melakukan ketaatan, dan memberikan peringatan kepada mereka yang berbuat kemaksiatan. Dalam kaitan ini Allah S.W.T. memberikan wahyu kepada para rasul, dan mempersiapkan mereka untuk menerimanya. Cahaya wahyu yang datang dari Allah S.W.T. dibandingkan dengan cahaya akal adalah bagaikan cahaya matahari dibandingkan dengan cahaya bintang. Mereka kemudian menunjukkan hamba Allah tentang kemaslahatan dunia mereka, yang akal manusia tidak mampu menemukannya. Mereka juga memberikan petunjuk kepada umat manusia tentang kemaslahatan akhirat mereka yang tiada jalan bagi manusia untuk mengetahuinya kecuali menerusi mereka, para ras u l.

Dalam pada itu Allah juga menampakkan bukti-bukti yang membenarkan kepada apa yang mereka bawa, yang menyebabkan mereka (umat manusia) tunduk dan mengikuti kebenaran mereka (para rasul). Dengan demikian sempurnalah nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepada para hamba-Nya, tampak jelas juga kemuliaan-Nya, dan tegaklah hujah-Nya. Kerana itu renungkanlah, dan alangkah mulianya manusia dan keturunannya yang dari mereka lahirlah manusia-manusia utama yang sanggup juga menerima tambahan keutamaan. Kemudian cahaya agama yang terang laksana cahaya matahari dan cahaya akal yang diibaratkan seperti cahaya bintang, saling membantu. Dengan demikian menjadi sempurnalah kebahagiaan orang yang sejak dahulu telah mendapatkan ketentuan baik dari Allah, dan jelas juga kesengsaraan orang yang mendustakan agama dan hanya menghendaki kehidupan dunia saja.

Selanjutnya bahawa Allah S.W.T. telah memberikan kurnia kepada manusia, iaitu diberi keistimewaan dengan suatu impian yang ia impikan dalam tidurnya, atau dalam keadaan seperti tidur yang menggambarkan pelbagai gambaran yang telah ia ketahui. Impian itu boleh jadi menyenangkan atau boleh juga menakutkan terhadap masa yang akan dihadapinya. Itu semua pemberian dari kemurahan Allah S.W.T. Dalam pada itu Allah S.W.T. menjadi-kan keteguhan hati manusia dalam melakukan ketaatan sebagai penyebab untuk membenarkan adanya pemberian Allah S.W.T. pada segala urusan. Hal itu dimaksudkan agar manusia dapat menerima tuntutan dan bimbingan, atau melangkah maju melakukan suatu urusan atau meninggalkannya. Itu semua merupakan urusan yang Allah sendiri saja memperlihatkannya kepada sebahagian manusia yang Dia kehendaki.