Budak Mati Di Hempap Pokok Kelapa

Seorang ibu tergamam dan terkejut apabila menyaksikan anak bongsunya yang berusia empat tahun menemui ajal dalam keadaan tidak diduga selepas kanak-kanak tersebut dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang di halaman rumahnya di Kampung Lada Jerantut..



Kejadian menyayat hati yang berlaku pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Nurshuhada Azman (gambar kecil) meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Difahamkan, sebelum kejadian Nurshuhada sedang bermain di halaman rumah. Selain ibunya, turut berada dekat laman tersebut ialah lima adik-beradiknya.

Bapa mangsa, Azman Zainuddin, 41, berkata, dia bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jirannya. Ketika itu dia berada di Pekan Jerantut Feri kira-kira empat kilometer dari rumahnya.

Mengimbau semula kejadian itu, Azman memberitahu, dia dimaklumkan, sebelum dihempap mangsa duduk di tangga rumah bersama adik-beradik lain sebelum dia turun ke laman untuk bermain-main.

Katanya, ketika itulah, pokok kelapa setinggi 15 meter itu tiba-tiba tumbang lalu menghempap Nurshuhada.