Hukum Solat Campur Lelaki Dan Perempuan

Menurut Mufti Mesir Dr. Ali Jum'ah. Menurut beliau "Islam memerintahkan umatnya menjaga kesucian dan kehormatan diri dan mengharamkan zina.

Solat Campur Lelaki Dan Perempuan

Sebab itulah Islam menyuruh lelaki dan wanita beriman merendahkan pandangan mereka, melarang mereka berdua-duaan, dikhuwatiri mereka akan terjerumus melakukan maksiat. Begitu juga, Islam memerintahkan lelaki berpakaian menutup bahagian tubuh antara pusat dan lutut dan wanita keseluruhannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Ini dinyatakan di dalam al-Quran S:an-Nur:24:30 dan hadis.

Salah satu hukum yang membawa maksud ini ialah Allah memerintahkan wanita berada di belakang barisan lelaki dalam sembahyang. Ini sebagai memuliakan wanita kerana ketika sembahyang Muslim akan sujud. Maka perintah ini ibarat pepatah Arab yang mengatakan " Dia hanya meletakkan kamu di belakang untuk mendahulukan kamu". Kedudukan saf perempuan di belakang saf lelaki bukanlah satu bentuk penghinaan, tetapi menaikkan martabat mereka dan mempertahankan kesopanan serta kehormatan, satu bentuk kerjasama antara lelaki dan wanita beriman untuk mematuhi perintah agar mereka merendahkan pandangan masing-masing.

Atas alasan inilah kita perhatikan Muslim sama ada di Timur mahupun Barat, di zaman awal Islam (salaf dan khalaf) bersertuju agar wanita tidak dibenarkan melaungkan azan, menjadi imam solat Juma'at atau sembahyang jemaah yang dihadiri wanita dan lelaki. Malah adalah haram lelaki dan wanita bersembahyang dalam satu saf, walau dalam apa jua keadaan. Begitu juga, para ulama dan orang biasa pun sebulat suara menyatakan adalah haram bagi wanita melaungkan azan, membaca khutbah dan menjadi imam sembahyang Jumaat.