Lelaki Paling Tua Di Malaysia Berumur 128 Tahun

Seorang lelaki dari Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, mendakwa dirinya kini berusia 128 tahun.

Lelaki Paling Tua Di Malaysia

RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dari Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, dekat sini mendakwa dirinya kini berusia 128 tahun biarpun tarikh lahir pada kad pengenalannya menunjukkan dia dilahirkan pada 2 September 1914.

Ya’acob Idris yang berasal dari Kampung Siram, Jeram Perdah mendakwa dia dilahirkan pada zaman pemerintahan Long Senik Mulut Merah yang memakai gelaran Sultan Muhammad Ke-II yang memerintah Kelantan dari tahun 1845 hingga 1886.

Menguatkan dakwaannya, Ya’acob memberitahu, ketika zaman tersebut penduduk di kampungnya hanya menggunakan periuk dan belanga yang diperbuat daripada tanah liat untuk kegunaan harian.

“Zaman itu juga belum ada kain kafan. Jadi, kami hanya menggunakan daun pisang dan guni untuk membalut jenazah sebelum dikebumikan. Mancis pun belum ada masa tu, hanya guna minyak dan garam untuk nyalakan api.

“Mata wang ketika itu wang syiling yang berlubang di tengah yang dikenali sebagai wang ‘kenering’. Perkahwinan pertama saya, mas kahwinnya hanya 20 keping wang tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.