Mayat Gaddafi Jadi Pameran

JENAZAH bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi (depan) dan anak lelakinya, Mutassim dipamerkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di bandar Misrata, Libya semalam.

Mayat Gaddafi

MISRATA, Libya - Jenazah Muammar Gaddafi yang masih berlumuran darah dipamerkan kepada umum di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar raya di sini.

Orang ramai semalam berbaris panjang untuk menatap jenazah bekas pemimpin Libya berusia 69 tahun itu yang diletakkan di atas sebuah tilam di bilik berkenaan.

Pada mulanya, jenazah Gaddafi disimpan di bilik itu untuk mengelakkan daripada tatapan umum. Namun, orang awam berpusu-pusu tiba untuk melihat jenazah pemimpin yang mereka benci itu sebaik sahaja rahsia lokasi tersebut terbongkar.

Malah, untuk memudahkan orang ramai melawat arwah, pengawal-pengawal di premis itu menetapkan masa lawatan berasingan untuk keluarga dan lelaki bujang.

"Kami mahu melihat anjing ini (Gaddafi)," kata beberapa penduduk setempat.

Berpuluh-puluh lelaki, wanita dan kanak-kanak turut tidak ketinggalan bergambar bersama jenazah bekas pemimpin Libya tersebut.

Jenazah Gaddafi dibiarkan terbujur dalam keadaan terdedah hingga ke paras pinggang dengan dada dan tangannya berlumuran kesan darah sebelum ditutup dengan sehelai selimut.

Kesan luka akibat tembakan turut dilihat pada dada, perut dan bahagian kiri kepala jenazah.

Turut diletakkan di dalam bilik sejuk beku tersebut ialah jenazah anak lelakinya, Mutassim Gaddafi.

Gaddafi meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dia ditangkap pejuang-pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) ketika cuba meninggalkan bandar kelahirannya, Sirte bersama pengawal-pengawalnya.

NTC yang memerintah Libya masih tidak dapat memutuskan bila dan di mana jenazah Gaddafi akan dikebumikan.

Penduduk di sini yang merupakan bandar paling teruk dibedil tentera Gaddafi dalam perang saudara sejak beberapa bulan lalu mendakwa jenazah Gaddafi adalah hak milik mereka.

Pertelingkahan itu menyebabkan rancangan untuk mengebumikan jenazah Gaddafi kelmarin terpaksa ditanguhkan.

Pemerintah tentera NTC di bandar ini juga tidak membenarkan pembedahan autopsi dilakukan keatas jenazah Gaddafi untuk mengetahui punca kematiannya.