Restoran Mamak Dirompak Lagi

Sebuah restoran mamak sekali lagi menjadi sasaran rompakan yang menggunakan senjata tajam seperti pisau dan parang panjang.

PETALING JAYA: Seorang pelanggan warga emas di sebuah restoran mamak terpaksa mendiamkan diri manakala sembilan yang lain lari lintang-pukang sebaik premis berkenaan dimasuki dua perompak bersenjatakan parang panjang, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 50-an itu yang diarah keluar dari tempat terbabit oleh perompak dikatakan mengalami masalah sakit lutut dan perlu memakai tongkat untuk bergerak.


Difahamkan, dalam kejadian jam 5,30 pagi, suspek yang memakai topi keledar mengarahkan semua pelanggan keluar sebelum meminta pekerja restoran menurut arahan mereka.

Pekerja A Nagappan, 40 berkata seorang suspek mengacukan parang ke arahnya yang menjaga kaunter bayaran sebelum memintanya menyerahkan wang tunai dan rokok.


Katanya, ketika kejadian, 10 pelanggan menjamu selera manakala keadaan sekeliling sunyi memandangkan cuti hari minggu.


“Saya tidak pasti suspek datang dari arah mana dan menggunakan kenderaan jenis apa kerana tidak melihat sebarang kereta atau motosikal mencurigakan berhenti di depan restoran.

“Kejadian berlaku dengan pantas iaitu kurang lima minit sebelum kedua-dua suspek melarikan diri ke arah belakang kedai yang gelap,” katanya yang mengalami trauma.


Nagappan yang lima tahun bekerja di situ berkata, dia hanya dapat merayu supaya mereka tidak mencederakannya dengan akur segala arahan tanpa banyak soal.

Setakat ini, pemilik restoran belum dapat memastikan nilai kerugian dan berharap kejadian itu tidak menjejaskan perniagaan mereka yang beroperasi 24 jam sehari.


Difahamkan, kejadian itu gagal dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) restoran kerana ia rosak.


Sebelum ini, kejadian rompak restoran mamak pernah mendapat perhatian selepas rakaman kejadian di Seksyen 15, Shah Alam tersebar dalam banyak laman web dengan entri bertajuk ‘Shah Alam Bukan Lagi Tempat Selamat’.


Dalam kejadian yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan selama empat minit dan 11 saat pada jam 4 pagi, 28 Ogos lalu, lima lelaki lengkap bertopi keledar serta memegang pisau dan parang meluru ke arah pelanggan.