Urusan Pos Laju Terus Dari Rumah

Kumudahan urusan pos laju kini telah dipermudahkan dengan sistem pungutan dari rumah ke rumah tampa perlu berurusan di kaunter.

Pos Laju Terus Dari Rumah

POS Malaysia Berhad memperkenalkan perkhidmatan terbarunya dikenali sebagai Khidmat Pungutan Tunai (KPT) yang membolehkan pelanggan membuat penghantaran tanpa perlu berurusan di kaunter PosLaju.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar berkata, perkhidmatan berkenaan dijangka mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelanggan PosLaju sedia ada kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa.


“Kebiasaannya, pelanggan perlu berurusan di kaunter dan ia mungkin mengambil masa terutama pada waktu puncak.

“Namun, dengan menggunakan perkhidmatan ini, kakitangan PosLaju akan mengambil barangan berkenaan di kediaman atau pejabat pelanggan,” katanya selepas majlis pelancaran KPT dan menandatangani perjanjian antara Pos Malaysia dengan TM di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama Ketua Pegawai Operasi, Pos Malaysia Berhad, Mohd Shukrie Mohd Salleh dan Naib Presiden Eksekutif TM Enterprise merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Vads Berhad, Ghazali Omar. Vads Berhad akan menyediakan pusat panggilan eksklusif bagi KPT.


Menurut Syed Faizal, caj tambahan RM5 akan dikenakan bagi setiap pungutan untuk barangan tidak melebihi 30 kilogram dan penghantaran akan dibuat keesokan hari.

“Kami menjangkakan perkhidmatan ini memberi manfaat kepada mereka yang mengendalikan perniagaan secara dalam talian kerana ia membantu mereka mengurangkan kos sampingan seperti masa berurusan di kaunter atau kos petrol,” katanya.


Pelanggan hanya perlu menghubungi 1-300-22-5258 dan kakitangan PosLaju akan membuat pungutan mengikut kawasan.

Menurut Syed Faisal, pihaknya mengunjurkan perolehan kira-kira RM3 juta dalam tempoh setahun selepas diperkenalkan dengan kira-kira 600 transaksi dilakukan setiap hari.