AS Guna Twitter Dan Facebook Sebagai Sumber Risikan

COLORADO SPRINGS 2 Nov. – Gelombang peningkatan kebangkitan rakyat di Afrika Utara dan Asia Barat yang setakat ini menyebabkan tiga kerajaan telah tumbang mendorong Amerika Syarikat (AS) untuk membangunkan garis panduan bagi mengumpul maklumat perisikan daripada rangkaian media sosial.




Penolong Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Caryn Wagner berkata, penggunaan teknologi seperti itu dalam kebangkitan rakyat di rantau itu, yang bermula di Tunisia mencetuskan perhatian beberapa pegawai, sekali gus membangkitkan persoalan sama ada AS perlu lebih memantau aktiviti rangkaian sosial domestik.

“Kami masih mencuba untuk memikirkan bagaimana anda menggunakan Twitter sebagai sumber atau bagaimana anda membina trend dan kemudiannya menjadikannya sebagai produk perisikan,” katanya.

Menurut Wagner, jabatannya sedang membangunkan garis panduan dalam mengumpulkan maklumat daripada laman web seperti Twitter dan Facebook untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang.

“Protokol sedang dibangunkan dengan kawalan ketat undang-undang bagi menghalang pengintipan terhadap rakyat AS dan melindungi privasi, termasuk peraturan menentukan tempoh masa maklumat itu boleh disimpan dan perbezaan antara pengawasan domestik dan antarabangsa.

“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang ditubuhkan selepas serangan 11 September 2001 tidak secara aktif memantau sebarang rangkaian sosial, tetapi hanya setelah menerima maklumat mengenai potensi ancaman,” ujarnya.

Wagner berkata, cabaran utama ialah membangunkan garis panduan untuk mengumpul dan menganalisis maklumat bagi membolehkan ia menyediakan bahan risikan bermakna bagi pegawai penguatkuasa.

Beliau yang kini berada di Colorado Springs untuk menyampaikan ucapan pada Simposium Kebangsaan bagi Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri turut mendedahkan satu lagi program utama melibatkan latihan beratus-ratus ribu pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh AS untuk membuat laporan mengenai aktiviti yang mencurigakan. – AGENSI