Budak Makan Baja Disangka Gula Gula

Ifti Ilya Farhana terpaksa menjalani pembedahan membuang bebola baja seakan kristal dalam ususnya di HTAA Kuantan semalam.




KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan terpaksa dibedah kelmarin selepas menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya di sini pada 26 Oktober lalu.

Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia setahun tujuh bulan tidak menyangka gula-gula itu sebenarnya bebola gel atau hidrogel, sejenis baja tanaman hiasan yang boleh membesar sehingga beratus kali saiz asalnya jika direndam di dalam air.

Ibunya, Siti Aisyah Yusof, 27, berkata, anak sulungnya itu dipercayai mendapat bebola tersebut daripada rakannya.

"Semasa dia masuk ke dalam rumah, saya lihat dia memasukkan beberapa butir manik sebesar kacang hijau ke dalam mulutnya," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.

Bagaimanapun, Siti Aisyah yang merupakan seorang guru memberitahu, empat hari selepas itu anaknya tiba-tiba muntah lalu terkeluar sebutir gel sebesar guli.

Bimbang keselamatan anaknya, dia mengejarkan anaknya itu ke HTAA pada pagi Ahad lalu.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Khairuddin Harun, 29, pula berkata, pada peringkat awal, doktor tidak dapat mengesan sebarang objek selepas melakukan ujian sinaran X (X-ray).

"Anak saya berterusan muntah, suhu badan pula naik mendadak sehingga 45 darjah Celsius dan pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya mengesan ada objek di dalam usus kecilnya," katanya