Kanak Kanak Terkecil Di Malaysia

Seorang Kanak-kanak terkecil di Malaysia lahir dalam keadaan pramatang di Hospital Putrajaya ketika usia kandungan lapan bulan dengan berat 550 gram dan bersaiz 25 sentimeter. Kisah ini telah berlalu tujuh tahun lalu..

Kanak-kanak terkecil di Malaysia


Bagiamanapun Kanak-kanak terkecil di Malaysia, Kama Mirezzanial Kama Rezmie Kamaruddin, 7 tahun, kini melahirkan harapan untuk belajar di sekolah harian biasa seperti kanak-kanak lain seusianya.

Dia yang mempunyai ketinggian 56 sentimeter dan berat 4.5 kilogram pada masa ini tidak bersekolah kerana enggan mengikuti pembelajaran di sebuah sekolah pendidikan khas di Putrajaya.

Kama Mirezzanial yang dilahirkan pada 2 Mac 2004 telah disahkan oleh Malaysia Book of Records (MBR) baru-baru ini sebagai kanak-kanak terkecil di Malaysia.

Bapanya, Kama Rezmie berkata, anaknya itu lahir dalam keadaan pramatang di Hospital Putrajaya ketika usia kandungan lapan bulan dengan berat 550 gram dan bersaiz 25 sentimeter. Dia disyaki mempunyai syckel syndrom iaitu sindrom kekerdilan yang menyebabkan pertumbuhan badannya terencat berbanding kanak-kanak lain.

"Doktor ketika itu mengesahkan dia hanya boleh hidup tidak sampai 75 hari selepas dilahirkan dan berkemungkinan mengalami masalah perkembangan otak.

"Meskipun tumbesarannya mula berhenti pada usia lima bulan tetapi Kama Mirezzanial terus hidup sehingga kini malah dia begitu aktif, boleh bertutur dengan baik dan boleh membaca," katanya ketika ditemui di pejabat MBR di sini semalam.

Lebih mengagumkan, kata Kama Rezmie, anaknya itu kini gemar menghabiskan masa dengan bermain iPad dan iPhone pada waktu lapang dan amat meminati ikon Upin dan Ipin.