Orang Minyak Bentong 2011 Mengganas

Sudah agak lama kita tidak mendengar berita misteri atau seram yang berlaku di negara kita ini. Bagaimanapun kini penduduk Ketari di Bentong, Pahang, gempar dengan kehadiran orang minyak yang berkeliaran dan mengganggu kediaman mereka. jom baca petikan berita ini.




BENTONG – Lebih 10,000 penduduk di 20 kampung dan taman perumahan di kawasan Ketari di sini mendakwa hidup mereka kini diganggu satu lembaga hitam seakan-akan orang minyak.

Lembaga itu dikatakan mengganggu gadis bawah umur sejak dua minggu lalu selain membuat kacau di kampung itu.

Imejnya menyerupai lelaki bertubuh kecil yang dipercayai mengamalkan ajaran ilmu hitam itu turut didakwa memecah masuk beberapa lagi rumah sekitar Ketari.

Ekoran kejadian itu, para penduduk taman perumahan dan kampung menggerakkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi mengawasi dan memburu suspek.




Salah seorang anggota SRS dari Kampung Bukit Piatu, Muhamad Zulfadzli Zulkifli, 22, mendakwa dia bersama rakan pernah terserempak dengan lembaga hitam itu beberapa hari lalu ketika melakukan rondaan.

“Kami ternampak satu lembaga hitam berada di atas bumbung salah sebuah rumah dan kami mengejar sehingga ke tepi sungai tetapi gagal apabila dia berjaya menyeberangi sungai tersebut.

“Kemudian, lembaga itu mempersendakan kami sebelum menghilang diri dalam semak apabila menyedari beberapa rakan kami cuba menyeberangi sungai untuk menangkapnya,” ceritanya di sini semalam.