Perompak Indonesia Mengganas

Keberanian empat pemuda termasuk tiga beradik menyergah dan mengejar lima penyamun Indonesia dalam satu kejadian pecah rumah mengundang padah apabila kesemuanya parah selepas ditetak kumpulan penjenayah tersebut dalam kejadian di Felda Jengka 10.



Kejadian pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan tiga beradik, Mohd. Shahidi Ismail, 23; Mohd. Faiz, 20; Al-Hafiz, 16, dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Saiful Amri Kamarudin, 29, cedera parah di kepala, tangan dan badan.

Dua daripada lima perompak itu kemudian dapat ditahan dengan salah seorang diberkas setelah tersilap jalan ketika cuba melarikan diri selepas kejadian.

Bapa mangsa, Ismail Mohd. Nor, 60, memberitahu, sebelum kejadian dia bersama isteri, Zawiyah Harun, 58, sedang tidur di dalam bilik manakala tiga anaknya dan Saiful Amri tidur di ruang tamu.

Katanya, anak-anaknya kemudian tersedar selepas mendengar bunyi orang menggeledah rumah sebelum menyergah suspek.

"Kelima-lima suspek kemudian bertindak menyerang mereka dengan parang sebelum berlaku pergelutan.

"Pergaduhan berlarutan sehingga memaksa perompak itu cuba melarikan diri namun mereka sempat menetak ketiga-tiga anak saya dan rakannya hingga parah dan beredar bersama sembilan telefon bimbit, komputer riba dan wang RM100," ceritanya.

Tambahnya, dia kemudian meminta bantuan penduduk sebelum menghubungi polis dan ambulans untuk membawa kesemua mangsa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.