Seindah Izara Aishah Mempersona

Seindah nama dan semanis orangnya, pesona Izara Aishah, 19, mudah mengingatkan khalayak kepada gadis emosional menerusi drama rantaian Keranamu Laila. Begitu juga dengan drama Soffiya yang menghadirkan Izara dalam watak antagonis sehingga karakter itu berjaya menimbulkan kebencian ramai.



Dua naskhah yang sudah menemui penonton pada waktu perdana itu cukup untuk membuktikan bahawa Izara mampu memburu sasaran yang lebih besar. Kurang setahun dalam dunia lakonan, rezekinya mencurah-curah. Biarpun sedikit terkebelakang dari segi populariti, Izara perlahan-lahan mengumpul pengikut bukan atas dasar sensasi murahan.

"Fokus saya sekarang hanyalah tentang diri saya. Tentang lakonan tapi saya mengakui ada satu kelemahan yang tidak mampu saya tangani seorang diri. Saya tidak pandai memilih atau menolak tawaran yang datang ketika ini. Saya jenis yang tidak sampai hati hendak kata 'tidak'. Sebab itulah, saya masih perlukan tunjuk ajar, saya masuk dalam industri dengan tak tahu apa-apa, syukur pengurus saya banyak membantu," kata pelakon yang lahir menerusi pertandingan Dewi Remaja 2010 itu.

Penampilan serta lontaran karakternya juga mula dikritik tetapi sudah ramai yang memuji-muji impak lakonannya. Watak penuh tipu daya, pemarah serta keras kepala seperti sudah sebati benar dengan renungan tajam pelakon berdarah kacukan Melayu-Pakistan itu. Dia kelihatan selesa dalam zon antagonis, satu sisi karakter yang sebenarnya banyak membuka ruang kepada mana-mana pemeran untuk bermain panah emosi.

"Sebelum ini saya banyak berlakon karakter lain, watak komedi dalam Jejaka J, watak baik dalam Kasih Najihah, serta Selumbar Kasih tapi orang kurang perasan.

"Bila buat watak jahat sahaja, baru orang nampak. Jujurnya, saya tidaklah begitu selesa dilabelkan pelakon antagonis. Tapi bila bermain watak antagonis, saya kena banyak bermain dengan ekspresi muka, macam-macam mimik muka, dari situ saya banyak belajar," ujarnya mengaku banyak menerima kritikan saat ditebak tentang intonasi suaranya yang kurang disenangi segelintir penonton.

Rendah diri dan menyifatkan itu antara kelemahan yang sememangnya dirasai, Izara bersifat terbuka mengambil kritikan sebagai asam garam dalam kehidupan seseorang pelakon.