Tonton Idola Kecil 4 2011

Program Idola Kecil kembali dengan musim keempat! kini lebih dikenali sebagai IK4, 12peserta cilik berusia lingkungan 8 hingga 12 tahun,





telahpun dikenal pasti untuk menonjolkan bakat mereka menerusi program realiti hiburan kanak-kanak terkenal ini. Idola Kecil 4 akan mula menemui penonton pada 5 November 2011, Sabtu, 9 malam eksklusif di TV9 (Saluran 119).

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Penjenamaan TV9, Sherina Nordin: "Saya bagi pihak TV9 berasa amat bersyukur kerana permulaan program Idola Kecil musim keempat ini mendapat penerimaan yang positif serta sokongan yang amat menggalakkan daripada semua pihak.

"Pada musim ini kami menerima lebih daripada 1,000 penyertaan uji bakat di empat buah lokasi, sekali gus merupakan rekod penyertaan paling tinggi berbanding musim-musim lalu.

"Kali ini, penyertaan bukan sahaja dari kaum Melayu, malahan adik-adik yang berbangsa India dan Cina juga turut mencuba nasib mereka. Ini membuktikan bahawa Idola Kecil mempunyai pengikutnya yang tersendiri."

"Proses pemilihan sememangnya sukar kerana peserta-peserta kali ini hebat belaka."

Peserta yang telah disenarai pendek perlu menjalani sesi 'bootcamp' sebelum 12 peserta yang terbaik dipilih. Kesemua 12 peserta ini datang dari pelbagai latar belakang berbeza rupa, identiti dan perwatakan.

Selama tiga musim berlangsung, Idola Kecil telah melahirkan masing-masing tiga juara iaitu Wan Syuhada Md. Amin, 12, yang menjuarai musim pertama, Siti Amirah Dayana, 10, (juara musim kedua) dan Nor Harris Alif Norashidi, 11, (juara musim ketiga).

Musim keempat ini akan menampilkan 12 orang peserta yang terdiri daripada lapan orang peserta perempuan dan empat orang lelaki.

Mereka adalah Ahmad Marzuki Nordin, 10, Hairul Asri Alis Sjofjan, 12, Irfan Haris Othman, 10, Mohd. Syafiqri Kaharudin, 10, Farisha Asmadi, 12, Nabihah Idrus, 8, Noor Aina Batrisyia Azman 12, Nurfazlina Ramlan, 11, Nurshazleen Natasha Jamaluddin, 11, Sarah Elyssa Khairul Fahmy, 11, Sharifah Nurhafifa Wan Aziz, 12 dan Sharifah Rusilmu Imani Syed, 11.

Konsert mingguan pertama akan disiarkan mulai 12 November, setiap Sabtu, pukul 9.00 malam.